Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:30
Maghrib
7:15
Isyak
8:26
Dunia

KORONAVIRUS

Penularan koronavirus belum ada tanda reda

Beberapa negara di Eropah, Asia, Caucasus, Amerika Selatan catat kes positif Covid-19 buat pertama kali
Feb 28, 2020 | 05:30 AM

GENEVA: Penularan wabak koronavirus masih belum ada tanda reda apabila beberapa negara sejak kelmarin mencatatkan kes positif Covid-19 buat kali pertama, termasuk Pakistan, Romania, Georgia, Greece, Norway dan Brazil.

Menteri Kesihatan Romania Victor Costache berkata kes pertama negara itu membabitkan pesakit yang mempunyai kontak secara langsung dengan seorang rakyat Italy yang berkunjung ke Romania awal bulan ini.

Sementara itu, Italy mencatat penularan terbesar di Eropah setakat ini dengan 447 kes dan 12 kematian akibat jangkitan Covid-19.

Manakala di Greece pesakit berusia 38 tahun itu merupakan seorang pereka fesyen terkemuka yang berkunjung ke utara Italy untuk hadir di minggu fesyen Milan.

Brazil pula mengesahkan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 61 tahun dijangkiti Covid-19, menjadikannya kes pertama di rantau Amerika Selatan.

Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengumumkan jumlah kes baharu berkaitan penularan wabak virus tersebut yang dilaporkan di luar China lebih tinggi berbanding dengan kes baharu dalam republik tersebut.

Antara negara yang melaporkan peningkatan kes jangkitan virus yang membimbangkan adalah Iran yang kini menyaksikan 19 kematian dalam minggu yang lepas.

Iran juga merekodkan 139 kes jangkitan positif virus itu, antaranya termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Iraj Harirchi.

Hanya sehari sebelum disahkan positif, beliau menolak cadangan untuk melaksanakan kuarantin terhadap bandar atau daerah tertentu kerana "amalan kuarantin hanya sesuai dalam Zaman Batu".

Korea Selatan turut menyaksikan peningkatan yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat dan kini mencatat 334 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 1,595 iaitu jumlah tertinggi di luar China.

Banyak kes baru telah muncul di seluruh Eropah, dengan ramai yang terkait dengan hotspot Covid-19 di benua Italy, sedang pakar kesihatan memberi amaran untuk mengekang penularan di luar sempadan China.

WHO kelmarin berkata jumlah kes baru di China ialah 411 Selasa lalu, manakala di negara lain pula ialah 427 kes.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata setakat kelmarin 78,190 kes direkodkan di China dan angka tersebut juga merangkumi 2,718 kes kematian.

Di negara lain pula, beliau akui peningkatan kes di luar China mendorong WHO untuk mempertimbangkan mengisytihar wabak tersebut sebagai pandemik.

"Kami tidak mahu terlalu cepat mengisytiharkan pandemik," katanya.

Beliau menegaskan pengisytiharan itu akan memberi petanda WHO tidak mampu lagi mengawal virus tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan WHO tidak akan teragak-agak mengisytiharkannya sebagai pandemik jika ia gambaran tepat mengenai situasi semasa.

Dalam perkembangan yang sama, lima wilayah di China telah menurunkan paras tindak balas kecemasan selepas menilai risiko kesihatan yang menurun.

China juga telah mengkuarantin 257 penumpang daripada dua penerbangan dari Korea Selatan.

Republik tersebut juga mengkuarantin 163 penumpang dalam penerbangan dari Korea Selatan ke timur badar Weihai pada Rabu setelah mendapati lima penumpang menunjukkan tanda-tanda demam. - Agensi berita.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian