Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Penunjuk perasaan tetap banjiri jalanan walau hadapi risiko terkorban

Feb 23, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Ribuan penunjuk perasaan terus turun ke jalanan di Myanmar, hari ini, walaupun junta memberi amaran keras bahawa mereka berisiko terkorban dalam krisis berkenaan.



Ketegangan semakin memuncak berikutan kematian empat penunjuk perasaan, selepas rakyat bangkit menentang rampasan kuasa dan penahanan pemimpin Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, oleh pihak tentera kira-kira tiga minggu lalu.



Tunjuk perasaan diadakan secara besar-besaran di seluruh negara ini, malah kempen penentangan oleh penjawat awam turut menjejas kebanyakan operasi kerajaan dan perniagaan.



"Penunjuk perasaan kini menghasut orang ramai, terutama remaja dan belia yang emosional, ke arah penentangan di mana mereka boleh kehilangan nyawa," menurut satu kenyataan yang disiarkan MRTV, kelmarin.



Kenyataan itu sekali gus memberi peringatan kepada penunjuk perasaan supaya tidak menghasut tindakan 'rusuhan dan anarki'.



Amaran itu dikeluarkan selepas insiden dua terkorban apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan di Mandalay, manakala seorang lagi mati ditembak di Yangon.



Seorang wanita muda turut meninggal dunia, Jumaat lalu, selepas ditembak di kepala ketika menyertai demonstrasi dan terpaksa bergantung pada mesin sokongan hayat.



Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Andrews berkata, beliau amat bimbang dengan ancaman baharu oleh junta itu.



"Amaran kepada junta: Tidak seperti 1988, tindakan oleh pasukan keselamatan adalah direkodkan dan anda dipertanggungjawabkan," ujarnya.



Begitupun, ancaman oleh junta itu tidak menggentarkan beribu-ribu penunjuk perasaan yang terus mengadakan bantahan, hari ini.



"Kami keluar untuk menyertai bantahan dan melawan sehingga menang.



"Kami memang bimbang dengan tindakan keras yang diambil oleh pihak berkuasa. Namun, kami tetap akan terus mara. Kami berasa sangat marah," kata pelajar universiti, Kyaw Kyaw, 23 tahun.



Junta tentera Myanmar telah mengarahkan lebih banyak tangkapan, dengan dianggarkan 500 orang berdepan pelbagai tuduhan atau terus ditahan di penjara.



Cik Suu Kyi yang merupakan Kaunselor Negara dan Presiden Myamar, Encik U Win Myint, sehingga kini masih dikenakan tahanan di rumah masing-masing di Napyidaw, ibu kota Myanmar.



Cik Suu Kyi telah dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi dua tuduhan - mengimport alat perhubungan (walkie-talkie) tanpa permit - yang membawa hukuman penjara tiga tahun; dan, melanggar pengurusan bencana negara itu.



Encik Win Myint berdepan tuduhan melanggar peraturan Covid-19 semasa pilihan raya umum pada November tahun lalu.



Kedua-dua mereka dijangka kembali ke mahkamah pada 1 Mac ini.



Tindakan itu adalah sebagai reaksi terhadap gerakan protes dan bantahan yang semakin menjadi-jadi berikutan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 1 Februari lalu.



Badan bantuan tahanan politik, AAPP, yang memantau keadaan berkata sejak dua minggu lalu kira-kira 495 pemimpin politik, aktivis dan penunjuk perasaan telah ditahan atau dihadapkan dengan tuduhan.



Sekurang-kurangnya tiga individu telah dihukum penjara dua bulan sementara seorang lagi tiga bulan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >