Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyelamat berusaha keluarkan mangsa terperangkap selepas gempa kuat di selatan Filipina
Penyelamat berusaha keluarkan mangsa terperangkap selepas gempa kuat di selatan Filipina
Penyelamat berusaha keluarkan mangsa terperangkap selepas gempa kuat di selatan Filipina
GENERAL SANTOS, Filipina: Pasukan penyelamat terus menggali runtuhan sebuah bangunan yang runtuh di bandar General Santos pada 9 Jun dalam usaha mencari dua individu yang masih dipercayai terperangkap selepas gempa bumi kuat melanda selatan Filipina.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan lebih 400 orang dilaporkan cedera manakala empat lagi masih hilang.
Bangunan komersial yang runtuh itu menempatkan sebuah kedai runcit dan beberapa premis perniagaan lain.
Pegawai bomba wilayah yang mengetuai operasi menyelamat, Encik Edgar Tanawan, berkata dua mangsa berjaya dikeluarkan hidup-hidup dari bangunan tersebut, manakala seorang lagi ditemui meninggal dunia.
Bagaimanapun, beliau berkata alat pengimbas yang digunakan pasukan penyelamat setakat ini tidak mengesan sebarang tanda kehidupan daripada dua lagi mangsa yang masih hilang.
“Sebagai seorang ibu, sangat sukar untuk menerima hakikat bahawa anak saya masih terperangkap di sana,” kata Cik Dioslinda Deluvio sambil menunggu di luar bangunan untuk mendapatkan berita mengenai anak lelakinya.
“Saya tidak tahu... sangat sukar untuk menerimanya.
“Saya cuma berharap anak saya dapat dibawa keluar hari ini supaya kami boleh memperoleh ketenangan,” kata wanita berusia 65 tahun itu.
Gempa bumi kuat itu berlaku awal pagi 8 Jun kira-kira 20 kilometer dari pesisir wilayah Sarangani dan turut mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara.
Gegaran dirasai dengan kuat di seluruh Mindanao dan sehingga ke bandar Manado di Pulau Sulawesi, Indonesia yang terletak kira-kira 420 kilometer dari pusat gempa.
Pihak berkuasa berharap angka korban tidak akan terus meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Keadaan kemusnahan jelas kelihatan di beberapa bahagian General Santos yang mempunyai lebih 700,000 penduduk dan kini diisytiharkan berada dalam keadaan bencana.
Beberapa bangunan runtuh manakala serpihan runtuhan memenuhi jalan raya bersama kabel elektrik dan tiang utiliti yang tumbang.
Pegawai pengurusan bencana Filipina kini giat memeriksa bangunan rosak untuk menilai tahap kerosakan selain berusaha memulihkan bekalan elektrik dan air kepada ribuan penduduk yang terjejas.
Gempa bumi kali ini berlaku hanya lapan bulan selepas Filipina mengalami gempa paling maut dalam tempoh 12 tahun apabila gempa cetek berukuran 6.9 magnitud melanda pesisir Pulau Cebu dan mengorbankan 79 orang.
Filipina sememangnya sering mengalami ratusan gempa bumi setiap tahun kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik.
Gempa kali ini turut menyebabkan kerosakan besar terhadap sekolah dan hospital.
Sekolah-sekolah yang baru dibuka semula pada 8 Jun selepas cuti panjang diarahkan tutup sementara waktu bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan.
Ketua Pejabat Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro, berkata ribuan bangunan sekolah mengalami kerosakan daripada tahap kecil hingga serius.
Satu rakaman video yang dikongsi sebuah sekolah menunjukkan detik gempa melanda ketika sekumpulan besar murid sedang duduk di lantai.
Video itu memperlihatkan bangunan bergoyang kuat dari kiri ke kanan sementara beberapa murid memeluk guru mereka sebelum semua pelajar melarikan diri apabila sebuah struktur perlindungan sementara runtuh di belakang mereka.
Di General Santos dan Sarangani, pesakit dirawat di khemah sementara sementara pihak berkuasa memastikan hospital berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.
Menteri Kesihatan Filipina, Encik Teodoro Herbosa, berkata pemulihan bekalan elektrik amat penting kerana gangguan kuasa menjejaskan rawatan sensitif dan penggunaan peralatan perubatan canggih di hospital.
“Kami sedang memastikan hospital selamat dan bekalan elektrik dipulihkan secepat mungkin kerana banyak rawatan kritikal bergantung kepada sistem kuasa,” katanya kepada radio DZBB.
Ketika operasi menyelamat masih diteruskan, ramai penduduk kini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan terhadap kemungkinan gempa susulan yang lebih kuat.
Pasukan penyelamat pula terus berlumba dengan masa untuk mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan sebelum peluang untuk menemui mereka semakin tipis. - Agensi berita
