Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Penyiasat nahas hairan pesawat junam mendadak

Mar 23, 2022 | 05:30 AM



BEIJING: Pesawat penerbangan China Eastern Airlines Corp dilaporkan terbang mengikut laluan biasa menuju Guangzhou apabila dengan tiba-tiba ia menjunam dan terhempas.



Itu sahaja yang diketahui setakat ini tentang nahas yang disifatkan sebagai luar biasa itu, yang mengakibatkan kesemua 132 orang di dalamnya terbunuh kelmarin dalam nahas penerbangan paling buruk di China dalam lebih 10 tahun.



Walaupun ada beberapa nahas melibatkan pesawat terhempas semasa terbang pada paras tinggi, sedikit sekali, jika ada, dapat disamakan dengan apa yang berlaku pada pesawat Boeing 737-800 itu, yang langsung menjunam ke bumi, kata seorang penyiasat veteran dan laporan nahas sebelum ini.



"Ini sesuatu yang aneh," kata Encik John Cox, seorang konsultan keselamatan penerbangan dan bekas juruterbang pesawat 737.



"Payah untuk sesebuah pesawat melakukan ini," ujarnya.



Sedang penyiasat menjalankan kerja mencari dua alat perakam kalis nahas pesawat itu dan meneliti semua petunjuk, mereka juga akan cuba memastikan mengapa pesawat itu menjunam secara mendadak, yang membezakannya daripada nahas sebelum ini.



Mereka akan meneliti cuaca yang dihadapi pesawat itu, apakah juruterbangnya membuat panggilan kecemasan, adakah petunjuk pada bangkai pesawat tentang kerosakan yang mungkin berlaku dan maklumat terperinci mengenai awak pesawat.



Penerbangan MU5735 itu berada pada ketinggian sekitar 29,000 kaki (8,839.2 kilometer) dan kira-kira 100 batu (160.93 kilometer) dari destinasinya - titik masa untuk juruterbang mula turun untuk mendarat - apabila ia mula menjunam dengan kecepatan luar biasa.



Biasanya pesawat mula turun pada kecepatan beberapa ribu kaki seminit - menghasilkan sensasi yang tidak dirasakan penumpang - tetapi pesawat itu mula turun secepat 30,000 kaki seminit dalam beberapa saat, menurut data yang dirakam Flightradar24.



Ia menjunam hampir 26,000 kaki dalam sekitar 1 minit 35 saat, menurut data itu. Pesawat itu kelihatan berhenti sekitar 10 saat dan naik semula sebentar, menambah keanehan kejadian tersebut.



Tetapi, catatan Flightradar24 itu, yang berpandukan isyarat radio dari pesawat berkenaan, menunjukkan ia kembali menjunam.



"Ini satu hal yang sangat aneh," kata Encik Jeff Guzzetti, bekas ketua penyiasat kemalangan Pentadbiran Penerbangan Federal Amerika Syarikat.



Sambil mengingatkan bahawa data Flightradar24 itu masih data awal, Encik Guzzetti dan Encik Cox berkata laluan agak lurus yang dilalui pesawat itu dan hakikat transpondernya (alat yang menerima dan memancarkan semula isyarat) masih bersiaran menunjukkan ia tidak pecah dalam penerbangan, seperti yang dilihat dalam beberapa kejadian pengeboman pengganas.



Nahas sama berlaku pada 19 Disember 1997, apabila pesawat Silk Air 737-300 yang membawa 104 orang menjunam ke dalam sebuah sungai di Indonesia, menyebabkan kesemua orang terbunuh.



Pesawat itu menjunam pada kelajuan kira-kira 38,000 kaki seminit, menurut Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >