Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Perang dagang: China tuduh Amerika pembuli

Sep 25, 2018 | 05:30 AM



BEIJING: China menuduh Amerika Syarikat terlibat dalam 'buli perdagangan' dan menakut-nakutkan negara lain agar tunduk kepada kehendaknya melalui langkah-langkah seperti tarif, kata agensi berita rasmi Xinhua semalam, beberapa jam selepas kedua-dua pihak mengenakan tarif baru terhadap barangan satu sama lain.



Xinhua, yang memetik kertas putih mengenai pertikaian perdagangan dua hala yang diterbitkan oleh Majlis Negara China, berkata Beijing telah berusaha menyelesaikan masalah itu demi kepentingan bersama kedua-dua pihak tetapi pentadbiran baru Amerika "bercanggah dengan dirinya sendiri dan terus mencabar China", membawa kepada peningkatan pesat pertikaian.



Amerika dan China mula mengenakan tarif baru ke atas barangan satu sama lain semalam, sedang dua ekonomi terbesar dunia itu menunjukkan tanda-tanda tidak akan mengalah daripada pertikaian perdagangan pahit yang semakin meningkat, yang membuat pasaran kewangan gelisah.



Tarif Amerika ke atas barangan China benilai AS$200 bilion ($273 bilion) dan tarif balas oleh Beijing ke atas barang Amerika bernilai AS$60 bilion berkuat kuasa semalam.



Kedua-dua negara telah mengenalkan tarif terhadap barangan satu sama lain bernilai AS$50 bilion awal tahun ini.



Produk China yang dikenakan tarif baru Amerika termasuk daripada pembersih vakum kepada peranti berkaitan Internet, manakala barangan Amerika yang disasarkan oleh Beijing termasuk gas asli cair dan beberapa jenis pesawat.



Walaupun pegawai kanan Rumah Putih minggu lepas berkata Amerika akan terus berhubungan dengan China bagi satu "cara positif untuk mara," tidak ada pihak yang menyatakan kesediaan bertolak-ansur.



Pegawai Amerika Jumaat lalu berkata tidak ada tarikh ditetapkan untuk perbincangan pusingan seterusnya.



Wall Street Journal melaporkan bahawa China, yang menuduh Washington tidak tulus dalam perundingan perdagangan, memutuskan tidak menghantar Naib Perdana Menteri Liu He ke Washington minggu ini.



Ahli ekonomi memberi amaran bahawa pertikaian berlarutan akan akhirnya menghalang bukan sahaja pertumbuhan di Amerika dan China bahkan ekonomi global yang lebih luas.



Ketegangan perdagangan juga telah melemahkan hubungan lebih luas antara Beijing dan Washington, dengan kedua-dua belah pihak bertelingkah mengenai semakin banyak isu.



China telah memanggil duta besar Amerika di Beijing dan menunda perbincangan tentera bersama sebagai bantahan terhadap keputusan Amerika mengenakan sekatan terhadap sebuah agensi ketenteraan China dan pengarahnya kerana membeli jet pejuang dan sistem peluru berpandu darat ke udara Russia.



Perbincangan perdagangan di Washington bulan lalu tidak menghasilkan kemajuan bermakna.



Encik Rob Carnell, ketua ekonomi Asia di ING, berkata dalam nota kepada pelanggan bahawa jika tidak ada insentif, Beijing mungkin menangguhkan sembarang rundingan lanjut buat masa ini.



China juga mungkin menunggu hingga pilihan raya pertengahan penggal Amerika awal bulan depan untuk sembarang petunjuk tentang perubahan pada dasar Washington, kata Encik arnell.



"Dengan tinjauan generik memihak kepada Demokrat, mereka mungkin berasa bahawa persekitaran perdagangan akan kurang bercorak bermusuhan selepas 6 November."



Pentadbiran Amerika mengenakan tarif 10 peratus ke atas produk China bernilai AS$200 bilion itu, dengan kadarnya akan naik hingga 25 peratus menjelang akhir tahun ini.



Beijing menetapkan levi barunya pada kadar 5 peratus dan 10 peratus ke atas barangan Amerika bernilai AS$60 bilion dan memberi amaran ia akan bertindak balas terhadap sembarang kenaikan tarif Amerika terhadap produknya dengan sewajarnya.



Presiden Amerika, Encik Donald Trump, Sabtu lalu mengulangi ancamannya akan mengenakan tarif lebih lanjut ke atas barangan China sekiranya Beijing bertindak balas, selaras dengan komennya sebelum ini yang memberi isyarat bahawa Washington mungkin mengenakan tarif ke atas hampir semua barangan China yang diimport jika pentadbirannya tidak mendapat apa yang dikehendakinya.



China mengimport barangan Amerika jauh lebih sedikit daripada Amerika mengimport barangannya, sekali gus bermakna ia tidak boleh mengenakan tarif balas yang sama jumlahnya dengan yang dikenakan Amerika.



Sebaliknya, ia telah memberi amaran tentang langkah-langkah "kualitatif" sebagai tindakan balas. Eksekutif perniagaan dan penganalisis berkata ini boleh bermakna menahan eksport produk tertentu ke Amerika atau mewujudkan pita merah pentadbiran bagi syarikat Amerika.



Beberapa penganalisis mengatakan terdapat juga risiko China membenarkan nilai mata wang yuannya turun lagi bagi meredakan kesan tarif Amerika ke atas syarikat pengeksportnya. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >