Perang mulut antara peguam Najib dan pihak pendakwa

KUALA LUMPUR: Sebutan kes bagi beberapa tuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bertukar menjadi perang mulut antara peguamnya dengan pihak pendakwa hari ini (4 Oktober).

Mereka bertengkar selama 50 minit, antara lain tentang format dokumen yang dikemukakan kepada pihak pembela.

Ketua Pendakwa Raya Datuk Sulaiman Abdullah menimbulkan isu bahawa pihak pendakwa telah cuba mengemukakan dokumen di bawah Kanun Prosedur Jenayah, tetapi tidak dapat berbuat demikian walaupun setelah melakukan segala usaha.

Peguam Datuk Seri Najib, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, pula berkata dokumen itu disampaikan dalam format CD-Rom dan bukan dalam bentuk salinan keras.

Beliau berkata Datuk Najib diberi CD-Rom itu pada 8 Ogos, dan ketika dia melawat isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam, seorang pegawai cuba memberinya satu lagi CD-Rom.

“Kami tidak dapat membaca beberapa dokumen dalam format CD. Beri kami dokumen dalam format betul agar ia sesuatu yang kami dapat cerna.

“Apa yang sangat istimewa mengenai kes ini hingga kami diberi format CD? Layan kami sebagai setara, bukan istimewa.

“Menyampaikan dokumen kepada peguam, bukan kepada pelanggan saya, juga amalan standard,” kata Dr Shafee.

Datuk Sulaiman kemudian berkata pihak pendakwa akan memberi dokumen itu dalam bentuk salinan keras dalam masa dua minggu. -THE STAR/ASIA NEWS NETWORK