WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, memperoleh sokongan mencukupi daripada Kongres Rabu lalu (2 Sep) bagi memastikan perjanjian nuklear Iran tidak disekat, apabila seorang veteran parti Demokrat menjadi senator ke-34 menyokong perjanjian kontroversial itu.
Kebanyakan penggubal dasar Amerika menentang perjanjian itu, yang akan mengurangkan sekatan ekonomi ke atas Teheran dan menghalang ia daripada memajukan program nuklearnya.
Banyak ahli politik Republikan memberi amaran bahawa Iran akan berdalih untuk membangunkan bom atom.
Bagaimanapun, dengan Senato Demokrat Barbara Mikulski mengumumkan sokongan beliau, perjanjian itu kini mempunyai 34 penyokong dalam Senat seramai 100 anggota - bilangan penting yang diperlukan untuk menyokong veto Encik Obama, yang beliau pasti akan laksana jika Kongres meluluskan resolusi menolak perjanjian tersebut.
Undi bagi perjanjian itu di Dewan Perwakilan akan diadakan minggu depan, kata pemimpin Republikan, Encik Kevin McCarthy.
Mengatasi kuasa veto presiden memerlukan undi dua pertiga di Senat dan Dewan Perwakilan. - AFP