WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata perkauman sistemik merupakan "noda dalam jiwa" negara itu dalam satu ucapan yang disiarkan kelmarin, setelah seorang bekas pegawai polis kulit putih didapati bersalah membunuh seorang lelaki kulit hitam dalam penangkapan.
Encik Biden berkata demikian setelah juri di kota Minneapolis mendapati Derek Chauvin bersalah menekan leher Encik George Floyd dengan lututnya selama lebih sembilan minit hingga menyebabkan Encik Floyd mati tercekik pada Mei lalu.
Presiden itu menyeru agar perkauman sistemik dan perbezaan kaum yang wujud dalam kepolisian dan sistem peradilan jenayah diatasi tetapi memohon penunjuk perasaan untuk mengelak daripada menggunakan kekerasan.
"Ada yang akan berusaha untuk mengeksploitasi emosi pada masa ini - para penghasut dan pelampau yang tidak berminat dengan keadilan sosial.
"Kami tidak boleh membiarkan mereka berjaya," kata Encik Biden.
Juri telah berunding kurang 11 jam sebelum mendapati Chauvin, 45 tahun, bersalah atas ketiga-tiga tuduhan terhadapnya - pembunuhan darjah kedua, pembunuhan darjah ketiga dan pembunuhan.
Keputusan sebulat suara itu dikeluarkan setelah perbicaraan tiga minggu yang dianggap sebagai ujian penting terhadap kebertanggungjawapan polis di Amerika.
Muncul bersama Biden, Cik Kamala Harris, naib presiden pertama Amerika yang berkulit hitam, telah berucap untuk melahirkan "kelegaan" yang dirasakan negara itu atas keadilan yang telah dilaksana, tetapi akur keputusan itu tidak dapat "menghilangkan derita" daripada pembunuhan Mr Floyd.
"Keputusan ini membawa kita selangkah lebih dekat. Kita masih ada kerja yang perlu dilakukan. Kita masih harus mereformasi sistem," katanya. - AFP.