SAN FRANCISCO - Sekatan terhadap sesetengah kandungan di laman Facebook dan permohonan dari pemerintah bagi mendapatkan data dari laman tersebut telah meningkat untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Facebook Inc.
Rangkaian sosial itu berkata, ia melihat sekatan dan permohonan tersebut terus meningkat sejak ia mendedahkan secara umum data-data itu dua tahun lalu.
Menurut Facebook dalam pos blognya, permohonan pemerintah bagi mendapatkan data itu melonjak 18 peratus secara global kepada 41,214 akaun - naik daripada 35,051 akaun pada tempoh yang sama tahun lalu.
Bilangan kandungan Facebook yang disekat kerana melanggar undang-undang negara pula meningkat lebih seganda kepada 20,568 kandungan.
Kebanyakan permohonan pemerintah berkaitan kes-kes jenayah seperti rompakan dan penculikan, kata Facebook.
Pemerintah sering meminta maklumat asas pelanggan seperti alamat IP atau kandungan akaun, termasuk pos yang dikirimkan dalam talian.
Kebanyakan permohonan pemerintah itu datang dari agensi-agensi penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat - merangkumi lebih 60 peratus permohonan secara global.
Perancis, Jerman dan Britain pula lebih banyak memohon supaya sesetengah kandungan Facebook disekat, misalnya kandungan yang menafikan adanya kekejaman Holocaust di Jerman, kata Facebook. - Reuters