Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:10
Asar
4:25
Maghrib
7:13
Isyak
8:23

Permulaan baru bagi Arab Saudi?

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana
37
0

Permulaan baru bagi Arab Saudi?

Putera Mahkota Mohammed bin Salman punya rancangan besar bagi negara tapi tak sunyi daripada rintangan
Nov 19, 2017 | 05:30 AM

PERKEMBANGAN terbaru di Arab Saudi menarik perhatian dunia, mendedahkan beberapa persaingan dalaman dalam kalangan keluarga diraja.

Sesetengah penganalisis menyatakan apa yang berlaku - termasuk tindakan antirasuah yang menyaksikan beberapa putera raja, bekas menteri dan tokoh perniagaan ditahan - mungkin memberi isyarat tentang pembaharuan yang mungkin berlaku.

Tokoh di sebalik tindakan itu ialah Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga menteri pertahanan Arab Saudi.

Namun, laporan lain mencadangkan sebaliknya.

Sebuah komentar akhbar The New York Times (NYT) berkata bagi memahami apa yang berlaku, adalah penting mengetahui latar belakang kepimpinan negara itu. Hampir satu abad Arab Saudi diperintah oleh golongan tua daripada sebuah keluarga diraja besar. Mereka bukan tidak memperkenal pembaharuan, tetapi melakukannya secara perlahan, sedangkan dunia mengalami perubahan teknologi, pendidikan dan globalisasi sangat pesat. Kelemahan itu ditutup dengan kemakmuran hasil daripada minyak.

Namun, ini tidak boleh berterusan, mentelah selepas harga minyak tidak lagi setinggi dulu. Sekarang, sekitar 70 peratus warga Arab Saudi berusia di bawah 30 tahun, dan kira-kira 25 peratus daripada mereka menganggur. Di samping itu, lebih 200,000 warganya belajar di luar negara, dan kira-kira 35,000 daripada mereka pulang setiap tahun dengan ijazah, dan mencari pekerjaan serta sesuatu yang menyeronokkan selain pergi ke masjid atau pusat beli-belah sahaja.

Sistem kerajaan itu perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan di luar sektor minyak, dan kerajaan tidak boleh terus menggunakan simpanannya bagi membeli kemantapan. Menurut NYT, itulah latar belakang permainan kuasa berani, tetapi semberono bagi sebahagian orang, anak lelaki Raja Salman - Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 32 tahun, yang dikenali dengan inisialnya MBS.

Menurut agensi penyiaran Al Jazeera, selepas lulus ijazah sarjana muda undang-undang daripada Universiti Raja Saud - menjadi pelajar kedua terbaik dalam kelasnya - MBS menubuhkan beberapa syarikat sebelum bekerja di beberapa agensi negara.

Beliau menubuhkan Yayasan MiSK, pertubuhan tidak mencari untung yang memupuk pembelajaran dan kepimpinan dalam kalangan belia Arab Saudi dan membangunkan firma permulaan melalui pelbagai program inkubasi perniagaan.

Pada 2013, Putera Mohammed diberi anugerah 'Personaliti Tahun Ini' oleh majalah Forbes Timur Tengah bagi mengiktiraf sokongan beliau kepada belia Arab Saudi dan pembangunan mereka.

Menurut agensi penyiaran BBC, kuasa MBS mula meningkat pada tahun itu juga, apabila beliau dilantik sebagai ketua Istana Putera Mahkota berpangkat menteri, selepas ayahnya menjadi putera mahkota menyusuli kematian Putera Nayef bin Abdul Aziz.

Pada Januari 2015, Raja Abdullah bin Abdul Aziz meninggal dunia dan ayah MBS naik takhta pada usia 79 tahun. Raja Salman dengan segera membuat dua keputusan mengejutkan - menamakan anaknya sebagai menteri pertahanan - termuda di dunia - dan anak Putera Nayef, Putera Mohammed bin Nayef, sebagai timbalan putera mahkota.

Pada April 2015, Raja Salman membuat perubahan lebih hebat ke atas pewarisan takhta, melantik Putera Mohammed bin Nayef sebagai putera mahkota dan MBS sebagai timbalan putera mahkota, timbalan perdana menteri kedua dan presiden Majlis Ehwal Ekonomi dan Pembangunan. Majlis itu mengawal urusan ekonomi kerajaan, membentuk dasar politik dan keselamatannya.

Namun akhir Jun lalu, Raja Salman melakukan apa yang dijangka - melantik anaknya sebagai putera mahkota, menggantikan Putera Mohammed bin Nayef, yang juga dipecat sebagai ketua di kementerian dalam negeri dan dilaporkan diletak di bawah tahanan dalam rumah.

Sekali gus ini meletak pasukan keselamatan Arab Saudi di bawah kawalan istana dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Sejak itu, beliau berusaha memperkukuh kuasanya dan meneruskan rancangannya bagi pelonggaran ekonomi dan sosial, ujar BBC.

Sebuah rencana penerbitan dalam talian Geopolitical Futures (GPF) menyatakan semangat MBS hendak melakukan pembaharuan jujur, sokongan golongan remaja kepadanya besar dan alasannya mahu membuat perubahan radikal di Arab Saudi menarik.

Antara langkah pertamanya semasa menjadi timbalan putera mahkota ialah melancarkan Visi 2030, yang bertujuan mengubah Arab Saudi daripada ekonomi berasas minyak kepada kuasa industri maju.

Ia membayangkan peningkatan pendapatan bukan minyak kepada 600 bilion riyal ($217 bilion) menjelang 2020 dan 1 trilion riyal menjelang 2030, daripada 163.5 bilion riyal pada 2015. Putera Mahkota itu berkata beliau mahu mewujudkan dana kekayaan negara terbesar di dunia, berjumlah hingga AS$3 trilion ($4.1 trilion), dengan wang yang dijana sebahagiannya melalui penswastaan syarikat minyak negara, Saudi Aramco.

Rancangan itu juga menggambarkan perubahan kurikulum pendidikan, meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, dan melabur dalam sektor hiburan untuk membantu mewujudkan pekerjaan bagi golongan muda.

MBS juga berikrar akan melahirkan Muslim Arab Saudi lebih sederhana, bermula dengan mengawal polis agama dan membenarkan wanita memandu. Malah, putera itu berkata kembali kepada "Islam sederhana" kunci bagi rancangannya memodenkan Arab Saudi, apabila beliau mengumumkan pelaburan AS$500 bilion di sebuah bandar dan zon perniagaan baru, Neom.

Ini sangat penting kerana beliau sebenarnya mencabar orang ramai supaya menilai kerajaannya bukan pada ketakwaan sahaja, bahkan prestasi, dan pada Petunjuk Prestasi Utama, atau KPI, berkaitan pengangguran, pertumbuhan ekonomi, perumahan dan penjagaan kesihatan.

MBS terpaksa mencari wang dari dalam dan luar negara bagi rancangannya itu. Keputusan menjual sebahagian daripada Saudi Aramco merupakan usaha tersebut.

Rencana GPF itu menyatakan untuk mencapai rancangannya, dua perkara harus berlaku. Pertama, ahli keluarga diraja dan yang lain harus sejajarkan kepentingan ekonomi mereka dengan kepentingan negara.

Kedua, beliau terpaksa menamatkan pengaruh aliran Wahhabi ke atas budaya Arab Saudi kerana perubahan dan perindustrian memerlukan budaya dinamik dengan hubungan sosial yang sentiasa berubah-ubah, yang tidak serasi dengan aliran Wahhabi.

Tindakan MBS merupakan serangan langsung terhadap golongan ulama dan mengakibatkan banyak ketidaksenangan dalam kalangan elit Arab Saudi. Ia juga bermakna beliau membentuk semula negara itu - daripada gabungan keluarga besar dengan kuasa dikongsi dan digilir-gilir antara tujuh keluarga utama dan keputusan yang dibuat secara konsensus kepada sebuah negara yang dikuasai oleh satu barisan keturunan.

Rintangan terhadap rancangannya sengit, walaupun tenang. Ini menimbulkan ancaman rampasan kuasa. Apakah ia benar-benar dirancang tidak penting. MBS terpaksa menganggap ancaman itu benar kerana begitu banyak pihak berkepentingan terjejas oleh tindakannya.

Jelaslah, akhirnya Putera Mahkota Mohammed memutuskan beliau harus berdepan dengan penentangnya terang-terangan agar mereka tidak dengan senyap-senyap melemahkan rancangannya, ujar GPF.

MBS melancarkan serangan pertama dengan mengambil tindakan antirasuah yang banyak penganalisis berkata sebenarnya bertujuan menghapuskan halangan akhir bagi beliau mendapatkan kawalan penuh ke atas Arab Saudi.

Sebelas putera raja, empat menteri dan beberapa ahli perniagaan berpengaruh antara berpuluh orang yang ditahan. Mereka termasuk jutawan Putera Alwaleed bin Talal dan Putera Miteb bin Abdullah, yang juga dipecat daripada jawatannya sebagai ketua Pengawal Kebangsaan - satu-satunya perkhidmatan keselamatan yang tidak berada di bawah kawalan MBS.

Menurut GPF, sembarang rakyat Arab Saudi yang berani bertindak terhadap putera raja dan ulama jelas berada dalam kedudukan terdesak. Tetapi dengan tindakannya itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman mungkin juga berjaya membuka cengkaman elit kewangan dan agama Arab Saudi. - Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3