WASHINGTON: Banjir, kebakaran dan kemarau yang didorong perubahan iklim boleh menjejas belanjawan tahunan persekutuan Amerika Syarikat menjelang akhir abad ini, kata Rumah Putih dalam satu penilaiannya yang kali pertama dibuat.
Penilaian Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB), yang ditugaskan Presiden Joe Biden Mei lalu, mendapati perubahan iklim akan menjejas belanjawan menjelang akhir abad ini, dan boleh mencapai 7.1 peratus kehilangan hasil tahunan, atau bersamaan AS$2 trilion (S$2.7 trilion) setahun dalam dolar hari ini.
"Perubahan iklim mengancam masyarakat dan sektor di seluruh negara, termasuk melalui banjir, kemarau, panas melampau, kebakaran hutan dan taufan (menjejas) ekonomi Amerika dan kehidupan setiap hari rakyat Amerika," kata Cik Candace Vahlsing, pegawai iklim dan sains OMB, dan ketua ekonominya, Encik Danny Yagan, dalam satu blog yang dilihat Reuters sebelum penerbitan laporan itu semalam.
"Kerosakan pada masa hadapan boleh jauh melebihi kerosakan sekarang jika pelepasan gas rumah hijau berterusan tanpa henti."
Analisis itu mendapati pemerintah persekutuan boleh membelanjakan tambahan AS$25 bilion hingga AS$128 bilion setiap tahun bagi perbelanjaan seperti bantuan bencana pantai; insurans banjir, tanaman dan penjagaan kesihatan; pengawalan kebakaran hutan dan banjir di kemudahan persekutuan.
Pada tahun lalu, satu rekod gelombang panas dan kemarau di barat Amerika telah menyebabkan dua kebakaran hutan besar yang melanda California dan Oregon dan merupakan antara yang terbesar dalam sejarah dua negeri itu.
OMB menyatakan peningkatan kebakaran hutan boleh meningkatkan kos kawalan kebakaran persekutuan antara AS$1.55 bilion dengan AS$9.6 bilion setiap tahun.
Selain itu, hampir 12,200 bangunan dan struktur persekutuan boleh ditenggelami air apabila laut naik, dengan kos penggantian hampir AS$44 bilion.
Encik Biden, seorang Demokrat yang meletakkan dirinya sebagai juara menangani perubahan iklim ketika mula memegang jawatan presiden pada Januari 2021, telah dipaksa menyokong peningkatan penggerudian minyak domestik dan eksport gas asli cecair ke Eropah sedang perang Russia ke atas Ukraine meningkatkan kos bahan tenaga.
Lewat bulan lalu, Encik Biden menyerahkan rancangan belanjawan AS$5.8 trilion kepada Kongres dengan memberi tumpuan kepada pengurangan defisit.
Pelan belanjawan Encik Biden memerlukan hampir AS$45 bilion untuk menangani perubahan iklim pada tahun fiskal 2023, peningkatan hampir 60 peratus berbanding tahun fiskal 2021. - Reuters.