Topik diikuti
Pergi ke BHkuPfizer BioNTech mohon izin penggunaan vaksin bagi kanak-kanak 5-11 tahun di AS
Pfizer BioNTech mohon izin penggunaan vaksin bagi kanak-kanak 5-11 tahun di AS
WASHINGTON: Syarikat Pfizer BioNTech mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) untuk memohon penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 keluaran mereka kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Perkara itu dimaklumkan Pfizer menerusi satu hantaran di Twitter kelmarin.
"Dengan kes-kes baru dalam kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat terus berada di paras yang tinggi, ini merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan kami melawan #Covid19," menurut Pfizer di Twitter.
Permohonan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS itu menyusul peningkatan penularan kes dalam kalangan kanak-kanak.
Malah, jumlah jangkitan terhadap golongan itu memuncak pada awal Sept lalu di negara itu.
FDA menetapkan 26 Oktober ini bagi penasihat dari luar untuk hadir dan berbincang tentang permohonan Pfizer tersebut.
Ini bagi membolehkan kanak-kanak dalam kumpulan usia itu, iaitu sekitar 28 juta untuk mula mendapatkan dua dos vaksin Pfizer-BioNTech tidak lama selepas itu.
Kelulusan kecemasan ini dijangka dapat mengurangkan kadar jangkitan apatah lagi selepas sekolah sudah mula dibuka semula.
Vaksin itu sudahpun diluluskan untuk kegunaan darurat bagi golongan remaja berusia 12 hingga 15 tahun dan diberi kelulusan sepenuhnya oleh pihak pengawal selia untuk diberikan kepada individu berusia 16 tahun dan ke atas.
Vaksin Pfizer-BioNTech merupakan salah satu daripada tiga vaksin yang digunakan di Amerika Syarikat, selain vaksin dua dos Moderna dan vaksin versi satu dos Johnson & Johnson.
Kedua-dua vaksin itu bagaimanapun belum lagi diluluskan sepenuhnya bagi mana-mana kumpulan usia.
Kelulusan Pfizer/BioNTech yang cepat kepada kanak-kanak dapat membantu mengurangkan kemungkinan peningkatan kes dalam beberapa minggu dan bulan mendatang, dengan sekolah dibuka di seluruh negara.
Sekiranya diberi kebenaran, vaksin Pfizer/BioNTech dua dos akan menjadi suntikan Covid-19 pertama yang disediakan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di AS.
Vaksin Pfizer/BioNTech setakat ini telah terbukti mendorong tindak balas imun yang kuat kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun dalam percubaan klinikal terhadap 2,688 peserta.
Syarikat itu juga menjalankan ujian klinikal vaksin berkenaan kepada kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, dan enam bulan hingga dua tahun, dengan data bakal diperoleh pada suku keempat tahun ini.
Kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 pada masa ini merangkumi sekitar 27 peratus daripada semua kes, sekali gus mencerminkan penularan varian Delta dalam kalangan individu tidak divaksin, menurut Akademi Pediatrik Amerika. - Agensi berita