LONDON: Syarikat pengeluar vaksin, Pfizer Inc dan Moderna Inc, menaikkan harga vaksin Covid-19 dalam kontrak pembekalan kepada negara-negara Kesatuan Eropah (EU), lapor The Financial Times, semalam.
Menurut akhbar itu, berdasarkan sebahagian kontrak yang dilihat, harga baru bagi suntikan Pfizer adalah 19.50 euro ($31.30) berbanding harga lama 15.50 euros.
Harga vaksin Moderna pula adalah AS$25.50 ($34.50) bagi setiap dos, meningkat daripada 19 euros dalam perjanjian perolehan pertama tetapi lebih rendah berbanding AS$28.50 yang dipersetujui sebelumnya berikutan peningkatan permintaan, menurut laporan itu yang memetik sumber dari pegawai terdekat.
Pfizer bagaimanapun enggan mengulas mengenai kontrak dengan Suruhanjaya Eropah atas alasan kerahsiaan.
Suruhanjaya Eropah Selasa lalu dilaporkan berkata EU sedang menuju sasaran untuk memberi vaksin kepada sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk dewasa menjelang akhir musim panas ini.
Mei lalu, EU dilaporkan berkata pihaknya menjangkakan akan menerima lebih satu bilion dos vaksin menjelang akhir September daripada empat pengeluar vaksin.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Eksekutif Pfizer Albert Bourla mempertahankan vaksin syarikatnya itu terbukti berkesan menyelamatkan nyawa dan menolong negara bangkit semula daripada pandemik ini.
"Vaksin adalah sangat mahal, namun kami menjualnya pada harga satu hidangan makanan dan ia membantu merancakkan semula ekonomi serta menghidupkan negara," katanya yang mengetuai syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan harga sebenar vaksin yang dihasilkan syarikatnya tetapi mengakui ia dijual pada harga lebih tinggi kepada EU atau Amerika berbanding negara membangun.
"Di negara berpendapatan pertengahan, kami menjualnya pada separuh harga manakala di negara miskin termasuk Afrika, kami mengenakan harga kos," katanya. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg