Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya pertengahan Filipina: Pertembungan sengit antara Marcos, Duterte

Oct 1, 2024 | 11:12 AM
Naib Presiden yang baru dilantik, Cik Sara Duterte, bersama Encik Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr., semasa majlis perasmian di Muzium Negara di Manila, Filipina, 30 Jun, 2022.
Naib Presiden yang baru dilantik, Cik Sara Duterte, bersama Encik Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr., semasa majlis perasmian di Muzium Negara di Manila, Filipina, 30 Jun, 2022. - Foto REUTERS

MANILA: Pendaftaran bagi calon pilihan raya tempoh pertengahan di Filipina bermula pada 1 Oktober.

Ia menandakan bermulanya salah satu pilihan raya terbesar di dunia, yang dijangka menyaksikan pertembungan sengit antara Presiden Ferdinand Marcos Jr. dengan mantan presiden yang lantang bersuara, Encik Rodrigo Duterte.

Pilihan raya yang dijadual pada Mei 2025 itu akan menjadi ujian utama terhadap populariti Encik Marcos serta peluang memperkukuh kuasanya dan menyediakan pengganti.

Namun, keluarga berpengaruh Duterte bertekad menghalang usaha tersebut selepas berlakunya perpecahan besar antara kedua-dua pihak.

Di Filipina, presiden hanya dibenarkan berkhidmat untuk satu tempoh selama enam tahun sahaja.

Sebanyak 317 kerusi Kongres dan ribuan jawatan di peringkat wilayah dan bandar bakal dipertandingkan dalam pilihan raya yang melibatkan 18,000 posisi.

Namun, tumpuan utama adalah pada 12 kerusi di Dewan Senat yang berpengaruh, sebuah badan dengan kuasa besar yang sering diisi tokoh-tokoh politik berprofil tinggi.

Terdapat spekulasi bahawa Encik Duterte, yang kini berusia 79 tahun, dan dua anak lelakinya akan bertanding untuk kerusi Senat bagi melemahkan kedudukan Encik Marcos.

Namun, pejabat Duterte dan anak perempuannya, Naib Presiden, Cik Sara Duterte, tidak memberi sebarang komen mengenai spekulasi itu.

Pilihan raya pertengahan tempoh ini berlaku selepas perpecahan antara kedua-dua keluarga yang dahulunya mempunyai kerjasama erat, yang membawa kemenangan besar bagi Encik Marcos dalam pilihan raya presiden 2022.

Pada masa itu, Cik Sara dilihat sebagai calon utama untuk jawatan presiden berdasarkan tinjauan awal, tetapi beliau memilih menjadi calon timbalan presiden bersama Encik Marcos.

Namun, hubungan mereka sejak itu menjadi semakin tegang akibat perbezaan dasar, termasuk pembatalan dasar pro-China yang disokong Encik Duterte serta siasatan ke atas perang dadah yang mencetuskan kontroversi besar, selain skandal lain yang melibatkan sekutunya.

Cik Sara meletakkan jawatan daripada kabinet Encik Marcos dan menghadapi pemotongan dua pertiga bajet pejabatnya oleh Kongres yang diketuai sepupu presiden.

Ini berlaku selepas beliau menolak untuk hadir ke sesi pendengaran dan tidak bersetuju dengan pengawasan perbelanjaannya.

Kerusi Senat boleh memberi keluarga Duterte platform dalam politik Filipina yang sering dipengaruhi oleh personaliti, untuk meningkatkan sokongan, mencabar undang-undang Encik Marcos, serta memulakan siasatan terhadap pemerintah pimpinannya.

“Semua perhatian akan tertumpu pada siapakah antara mereka yang akan bertanding... atau kesemua mereka,” kata Profesor Ederson Tapia dari Universiti Makati.

“Keluarga Duterte, walaupun dengan kontroversi yang melanda Sara, masih kekal sebagai kuasa yang kuat.”

Bagi Encik Marcos, beliau memperkukuhkan kedudukannya dengan menyokong nama-nama besar tempatan untuk kerusi Senat, termasuk tiga bekas pelakon terkenal, anak perempuan lelaki terkaya di negara itu, serta dua pesaingnya dalam pilihan raya presiden sebelum ini, termasuk ikon tinju dunia, Manny Pacquiao.

Namun, satu nama yang akan hilang daripada senarai calon Senat yang disokong Marcos ialah adiknya, Cik Imee Marcos, yang bertanding untuk penggal semula tetapi menolak sokongan daripada abangnya.

Cik Imee menyatakan bahawa keputusannya adalah untuk mengelakkan daripada meletakkan abangnya dalam situasi yang sukar.

Profesor Sains Politik Jean Encinas-Franco dari Universiti Filipina berkata bahawa kejayaan Encik Marcos dalam pilihan raya pertengahan tempoh ini boleh menjadi faktor penting dalam menentukan legasi politiknya.

“Jika majoriti calon yang beliau sokong menang di Senat dan Dewan Perwakilan, ia memastikan agenda perundangannya akan berjaya.

Ia juga memberikan beliau pengaruh yang cukup untuk melantik seseorang yang akan mendapat sokongannya dalam pilihan raya presiden pada 2028,” kata Profesor Encinas-Franco. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg