KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi, akan dilaksanakan sekiranya kes penularan Covid-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari.
Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada ahlinya.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Lokman Hakim Ali, sewaktu mesyuarat bersama EuroCham.
"Beliau memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pendirian jelas tentang penutupan sepenuhnya ekonomi.
"Sebanyak 99 kluster Covid-19 di Malaysia adalah berkait dengan sektor perkilangan dan pihak KKM percaya sektor itu punca utama kepada jangkitan," katanya dalam satu kenyataan.
EuroCham berkata sektor pembinaan juga turut disebut menjadi antara punca penularan, namun perkara itu hanya dibincangkan secara ringkas memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa Miti.
"Miti merayu kepada semua syarikat asing dan tempatan agar bersama-sama berusaha mengurangkan dan memutuskan rantaian jangkitan demi memastikan ekonomi terus dibuka untuk perniagaan."
Menurut EuroCham, memandangkan asrama pekerja dan aktiviti berkaitan seperti pengangkutan serta aktiviti sosial dikenal pasti sebagai punca masalah, pihak Miti bersama Dewan Perniagaan menggariskan beberapa langkah.
"Syarikat akan melantik sekurang-kurangnya seorang wakil daripada bahagian sumber manusia untuk menyelaras pekerja dan pekerja asing di asrama. Ia bagi mengurangkan pergerakan serta aktiviti sosial.
"Syarikat perlu bertanggungjawab terhadap pengurusan pekerja asing atau perumahan mereka yang dilantik melalui agensi. Terdapat kes di mana keadaan rumah yang teruk serta pengangkutan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus menyebabkan kadar jangkitan meningkat."
Selain itu, syarikat juga dituntut menyediakan ruang kuarantin asas di asrama bagi memastikan kes di bawah pemantauan, kontak rapat dan kes positif boleh diasingkan.
EuroCham berkata syarikat juga perlu memastikan jumlah pekerja dalam setiap kenderaan pekerja adalah di bawah 50 peratus kapasiti bagi memastikan penjarakan fizikal.
Awal dari itu, EuroCham memberi amaran sekatan pergerakan kedua yang sama seperti dilaksanakan pada Mac dan April tahun lepas mungkin akan menyebabkan ekonomi Malaysia tumbang kerana banyak perniagaan akan ditutup.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Sven Schneider berkata negeri paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 juga merupakan hab komersial dan perindustrian negara, yang mana akan menggandakan impak daripada sebarang sekatan pergerakan ketat yang akan dilaksanakan.
"Kami berharap kerajaan akan menimbang dengan teliti perkara ini (di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat potensi perintah kawal pergerakan kedua yang ketat)," katanya.
Beliau berkata walaupun Eurocham Malaysia menyokong keputusan kerajaan untuk menangani ancaman Covid-19 ke atas kesihatan awam dengan menggunakan strategi yang telah terbukti berjaya, ia tidak memilih sekatan pergerakan penuh yang ketat, yang mungkin tidak dapat mengimbangi keperluan pemulihan ekonomi Malaysia.
Menurutnya, ketika ini, perniagaan masih sedang dalam proses penyusunan semula dan baru sahaja pulih daripada impak sekatan pergerakan pertama disebabkan oleh penularan pandemik itu.
"Antara banyak cabaran yang dihadapi kebanyakan perniagaan semasa sekatan pergerakan sepenuhnya adalah pengurangan hasil dan kerugian kewangan, cabaran logistik dan gangguan rantaian bekalan serta pemberhentian pekerja, antara lainnya," katanya.
Beliau berkata meskipun kerugian yang dialami, banyak perniagaan dan terutamanya komuniti perniagaan Eropah belajar untuk bukan sahaja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan tetapi juga melaksanakan langkah dalaman yang malahan lebih ketat dalam pejabat atau tapak perkilangan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja. - Agensi berita.