Subuh
5:58
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:41
Maghrib
7:21
Isyak
8:33

PM baru New Zealand angkat sumpah

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

PM baru New Zealand angkat sumpah

Jan 26, 2023 | 05:30 AM

WELLINGTON: Pemimpin Buruh, Encik Chris Hipkins, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri New Zealand dalam satu majlis rasmi semalam, berikutan peletakan jawatan perdana menteri sebelumnya, Cik Jacinda Ardern, minggu lalu.

Parti Buruh sebelum ini juga telah memilih Encik Hipkins, 44 tahun, mantan Menteri Respons Covid-19 dan Polis, untuk memimpin parti itu dan juga negara pada Ahad lalu.

Ini berlaku selepas peletakan jawatan mengejut Cik Ardern, 42 tahun, yang berkata sudah tiba masanya buat beliau berundur.

Ratusan orang berkumpul di perkarangan Parlimen sedang Cik Ardern semalam meninggalkan bangunan itu buat kali terakhir, mendakap setiap anggota parlimennya, dengan kebanyakan mereka kelihatan emosi.

Beliau kemudian pergi ke Rumah Pemerintah, di mana beliau menyerahkan peletakan jawatannya kepada wakil Raja Charles di New Zealand, Gabenor Jeneral Cindy Kiro.

Encik Hipkins dan timbalannya Cik Carmel Sepuloni - orang pertama berketurunan Kepulauan Pasifik memegang jawatan itu - kemudiannya mengangkat sumpah, dalam satu majlis yang berlangsung selama beberapa minit.

Beberapa jam kemudian, Encik Hipkins bertemu wartawan selepas mesyuarat Kabinet pertamanya sebagai perdana menteri.

Dihujani dengan soalan mengenai kos sara hidup dengan data yang menunjukkan angka itu melebihi ramalan penganalisis, Encik Hipkins berkata beliau akan menjadikan isu itu sebagai agenda utamanya.

Namun, beliau menolak mengumumkan dasar baru serta-merta sambil menambah beliau akan bertindak segera tetapi tidak membuat dasar "secara terburu-buru".

"Rakyat New Zealand akan lihat dalam minggu dan bulan mendatang bahawa kos sara hidup adalah isu utama program kerja kami.

"Ia adalah keutamaan nombor satu yang kita hadapi sebagai kerajaan dan mereka akan melihat bukti nyata tentang itu.

"Jelas sekali saya tidak akan membuatnya dengan terburu-buru, seperti yang telah saya nyatakan," katanya.

Encik Hipkins menambah, beliau juga akan menghormati semua komitmen yang telah dibuat bagi penggal Parlimen semasa.

Dikenali juga sebagai "Chippy", Encik Hipkins terkenal dalam kalangan rakyat negara itu kerana kecekapannya dalam menangani Covid-19, walaupun beliau mengakui beberapa kesilapan dalam mengendalikan wabak itu dan kini berdepan perjuangan sukar untuk mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum Oktober depan.

Tinjauan 1News-Kantar yang dikeluarkan pada Disember lalu menunjukkan sokongan kepada Parti Buruh jatuh kepada 33 peratus daripada 40 peratus pada awal 2022, bermakna parti itu tidak akan dapat membentuk majoriti walaupun dengan rakan gabungan tradisional Parti Hijau yang mendapat 9 peratus.

Pembangkang Parti Nasional telah meraih manfaat daripada kemerosotan sokongan kepada Parti Buruh.

Sementara itu, Cik Ardern menegaskan beliau berasa bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada negara, sambil menjelaskan bahawa penyalahgunaan dalam talian yang berterusan bukanlah sebab peletakan jawatannya.

Peletakan jawatannya, kurang tiga tahun selepas kemenangan besar dalam pilihan raya lalu, telah mencetuskan perdebatan nasional mengenai kebencian yang dihadapi pemimpin wanita, terutama di media sosial.

"Saya meninggalkan (jawatan perdana menteri) dengan rasa penuh terima kasih kerana mempunyai peranan yang indah selama bertahun-tahun," katanya kepada wartawan. - Reuters, AFP.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3