Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

LAWATAN PM LEE KE AMERIKA SYARIKAT

PM Lee: Perang di Ukraine ada implikasi di Asia Pasifik

Mar 31, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Perang di Ukraine ada implikasinya ke atas Asia Pasifik, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di sidang akhbar bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, kelmarin.



"Terdapat punca pergeseran dan isu-isu yang dipertikaikan di rantau kami juga, yang mana, jika tidak diurus dengan baik, boleh menyebabkan konflik terbuka," kata Encik Lee, yang kini melakukan lawatan kerja ke AS.



"Negara yang ada kepentingan di rantau kita ini perlu meneruskan kesemua usaha untuk menyelesaikan ketidaksetujuan mereka dengan cara aman agar kita boleh mengelak dari berdepan keadaan yang tidak boleh diubah," katanya tanpa menyatakan mana-mana negara.



Kedua-dua pemimpin bertemu untuk sejam di Rumah Putih, dan kemudiannya mengutuk keras serangan Russia ke atas Ukraine, yang telah memasuki minggu ke-6, di satu sidang akhbar.



Kata Encik Lee: "Kedaulatan, kebebasan politik dan persempadanan wilayah semua negara, kecil dan besar, mesti dihormati. Serangan ketenteraan yang tidak dicabar ke atas sebuah negara berdaulat atas apa jua alasan tidak boleh diterima."



Beliau berkata, beliau dan Encik Biden telah membincangkan langkah-langkah yang diambil Singapura untuk mengekang keupayaan Russia dalam menjalankan peperangan ke atas Ukraine.



Ini termasuk sekatan dan membataskan eksport.



Encik Biden berkata, "kepimpinan teguh" Singapura di rantau Asia menjelaskan bahawa perang yang dilakukan Russia tidak diterima di semua rantau, bukan hanya di Eropah.



"Hari ini, Singapura dan Amerika Syarikat bersatu dalam menyampaikan pesan ke semua negara... tanpa mengira saiz dan populasi, mereka akan sama dalam hak mereka di pentas dunia," katanya.



"Mereka punya hak kepada kedaulatan dan persempadanan wilayah dan menentukan masa depan mereka, bebas dari keganasan dan ugutan."



Para pemimpin itu, yang kali terakhir bertemu di Rome, Italy, semasa sidang puncak G-20 pada November tahun lalu, juga membincangkan keamanan dan kemantapan Indo-Pasifik, kata Encik Biden.



"Ini termasuk memastikan semua negara di rantau (Asia), termasuk China, mendukung prinsip yang membolehkan ia menjadi sebuah rantau yang bebas dan terbuka," kata Presiden Biden, sambil menambah bahawa Singapura dan AS kedua-duanya komited terhadap kebebasan pelayaran dan aliran yang tidak terhalang bagi perdagangan kelautan di Laut China Selatan.



Mereka juga menggesa Korea Utara yang telah menjalankan ujian peluru berpandu sejak beberapa bulan lalu, untuk kembali ke meja rundingan dan mengelak dari melakukan provokasi lanjut.



Encik Biden juga turut melahirkan keprihatinan mendalam terhadap kesengsaraan dan keganasan di Myanmar, menyusuli kudeta tentera tahun lalu.



"Singapura dan Amerika Syarikat bersetuju bahawa rejim tentera mesti segera melaksanakan Kesepakatan Lima Perkara Asean dan mengembalikan Burma ke landasan peralihan demokrasi," kata Encik Biden, menggunakan nama asal Myanmar.



Pelan lima perkara Asean untuk Myanmar, yang disebut sebagai satu "kesepakatan", menggesa penamatan keganasan dengan segera, mengadakan dialog membina di kalangan semua pihak, mengadakan wakil khas bagi memudahkan rundingan dan bertemu dengan semua pihak yang prihatin, dan mengadakan bantuan kemanusiaan.



Encik Lee juga mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden, Cik Kamala Harris tengah hari kelmarin dan turut menghadiri satu majlis dialog semalam.



Dalam lawatan yang berakhir lusa (2 April), Encik Lee diiringi Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; dan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.




“Terdapat punca pergeseran dan isu-isu yang dipertikaikan di rantau kami juga, yang mana, jika tidak diurus dengan baik, boleh menyebabkan konflik terbuka. Negara yang ada kepentingan di rantau kita ini perlu meneruskan kesemua usaha untuk menyelesaikan ketidaksetujuan mereka dengan cara aman agar kita boleh mengelak dari berdepan keadaan yang tidak boleh diubah.”
– Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong tanpa menyatakan mana-mana negara.



“Hari ini, Singapura dan Amerika Syarikat bersatu dalam menyampaikan pesan ke semua negara... tanpa mengira saiz dan populasi, mereka akan sama dalam hak mereka di pentas dunia. Mereka punya hak kepada kedaulatan dan persempadanan wilayah dan menentukan masa depan mereka, bebas dari keganasan dan ugutan.”
– Presiden Joe Biden.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >