PUTRAJAYA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong bertemu Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana di ibu kota pentadbiran Malaysia, Putrajaya, pada Sabtu (19 Mei).
Ia pertemuan pertama dua pemimpin itu sejak Tun Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei, selepas gabungannya, Pakatan Harapan, memenangi pilihan raya umum 9 Mei.
PM Lee tiba di Putrajaya pada 11 pagi dan disambut oleh Tun Mahathir, yang juga perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003 dan presiden kehormat yayasan itu yang dimulakan pada 2003 untuk kajian kepimpinan Malaysia dan pembinaan negara.
Encik Lee menandatangani buku tamu sebelum pertemuan itu, yang turut dihadiri Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Hadir sama ialah isteri kedua-dua perdana menteri, Cik Ho Ching dan Tun Dr Siti Hasmah Ali, dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Encik Vanu Menon.
Tun Mahathir mengucapkan terima kasih kepada PM Lee atas ucapan tahniahnya dan bagi lawatannya.
PM Lee berkata pada permulaan pertemuan itu: “Anda jiran terdekat dan terapat kami, jadi apabila ini berlaku saya fikir saya harus datang segera, memperbaharui hubungan asas, memperbaharui jalinan kita.”
Beliau memberitahu Parlimen Singapura pada Rabu lalu tentang pertemuannya yang dirancang dengan Tun Mahathir, sambil menambah: “Saya akan memberitahunya bahawa saya berharap dapat bekerjasama dengannya sekali lagi demi faedah bersama.”
Dalam ucapan tahniah kepada Tun Mahathir pada 11 Mei, PM Lee juga menulis: “Kami mempunyai kerjasama luas dengan Kerajaan Malaysia yang berturutan, dan kita mempunyai hubungan kuat dan saling menguntungkan dan interaksi semasa tempoh lalunya sebagai Perdana Menteri. Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan anda, dua negara ini dapat mencari cara untuk memperkuat dan memperdalam lagi hubungan dua hala.”
PM Lee pemimpin asing kedua melawat Tun Mahathir selepas beluiau menjawat jawatan itu, selepas Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei.