HONG KONG - Polis Hong Kong pada Ahad (15 September) telah melepaskan tembakan gas pemedih mata di salah satu pintu masuk stesen MTR Admiralty untuk membubarkan penunjuk perasaan yang memecahkan panel kaca di sana, selain menyekat pintu masuk stesen itu dalam bantahan yang sudah berlarutan beberapa bulan .
Tembakan gas pemedih mata juga dilepaskan di Harcourt Road, selepas penunjuk perasaan menghalang trafik di lebuh raya utama di Admiralty.
Sementara itu, penunjuk perasaan lain telah menggali bata di kaki lima, menurut rakaman TV tempatan.
Mereka pernah menggunakan bata sebagai bahan untuk menyerang pihak polis dalam bantahan sebelum ini.
Dua kenderaan polis yang dilengkapi dengan meriam air dan dua kenderaan berperisai berada dalam keadaan siap sedia berdekatan pejabat perhubungan Beijing di Sai Ying Pun, agensi penyiar tempatan TVB melaporkan.
Bangunan itu, yang menjadi sasaran penunjuk perasaan dalam demonstrasi sebelum ini, juga dikelilingi oleh benteng-benteng yang diisi air.
Pada Ahad, puluhan ribu penunjuk perasaan telah melaungkan pelbagai slogan, sambil mereka berjalan melalui daerah membeli-belah Causeway Bay, walaupun tindakan tersebut dilarang oleh polis.
Golongan penunjuk perasaan, yang terdiri daripada golongan penunjuk perasaan yang ganas, yang berpakaian hitam dan bertopeng, dan juga golongan penunjuk perasaan yang telah berarak bersama keluarga dan anak mereka, telah sama-sama memenuhi jalan raya di kawasan membeli-belah itu.
Ada yang mempamerkan bendera Amerika dan Britain, manakala yang lain memegang poster yang menekankan tujuan mereka mengambil bahagian dalam protes tersebut, iaitu supaya adanya pembaharuan demokratik di Hong Kong.
Perarakan itu telah menjejas lalu lintas dan penjualan di banyak kedai, termasuk gedung membeli-belah Sogo serta pusat membeli-belah Hysan Place dan World Trade Centre, yang semuanya menutup pintu kedai mereka, penyiar tempatan RTHK melaporkan.
Semakin penunjuk perasaan menghampiri ibu pejabat polis yang berdekatan, pihak polis telah memberi amaran kepada golongan tersebut, dengan menegaskan bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram, tetapi golongan penunjuk perasaan itu terus melaungkan slogan, malah teruskan perjalanan mereka.
Dalam satu kenyataan, polis berkata penunjuk perasaan telah berkumpul di Causeway Bay, dan menghalang kenderaan di Hennessy Road, Queensway dan Des Voeux Road Central.
Polis juga menegaskan bahawa golongan penunjuk perasaan itu telah melakukan satu kesalahan "mengambil bahagian dalam perhimpunan yang tidak dibenarkan", dan merayu orang ramai agar bersurai dengan segera. -Agensi berita.