PETALING JAYA: Polis Malaysia berkata ia menyedari laporan berita Arab yang menggambarkan hubungan antara kumpulan pengganas dan presiden pembangkang Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi berkata beliau tidak dianggap sebagai ancaman.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata beliau mengetahui tentang laporan itu, ketika dihubungi akhbar The Star.
“Bagi Malaysia, tidak ada ancaman daripada pelibatannya (Datuk Seri Hadi) dalam kumpulan itu,” kata Tan Sri Fuzi.
Beliau menambah bahawa polis akan memantau perkembangan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Saudi Press Agency pada Jumaat (24 Nov), empat negara Arab – Arab Saudi, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain – mengisytiharkan Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) sebagai sebuah kumpulan keganasan.
Datuk Seri Hadi naib presiden IUMS, yang berpangkalan di Qatar dan ditubuh pada 2004, dengan diketuai ulama berpengaruh Dr Yusuf Al-Qardawi.
Pada Jun, Arab Saudi, UAE, Bahrain, dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar dan menuduh ia menyokong pengganasan.
IUMS salah satu daripada dua entiti baru, bersama 11 orang, yang dimasukkan ke dalam satu senarai empat negara itu yang dipanggil mereka ‘senarai pengganasan’.
Satu lagi entiti ialah Majlis Islam Antarabangsa, yang juga dikenali sebagai Massaa.
Laporan itu menggambarkan dua entiti tersebut sebagai pertubuhan pengganas yang mempromosikan pengganasan dengan mengeksploitasi wacana Islam dan menggunakannya sebagai topeng untuk memudahkan pelbagai kegiatan pengganas.
PAS telah menolak dakwaan itu. – The Star/Asia News Network