KUALA LUMPUR: Polis menafikan bahawa ibu anak berusia dua tahun yang dipancung, Allahyarhamha Siti Soffea Emelda Abdullah, mengenali suspek pembunuhan itu.
Polis juga menafikan bahawa wanita tersebut, Cik Siti Salmy Suib, 32 tahun, kini ditahan.
Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Zainuddin Ahmad, berkata semua faktor perlu dipertimbang dalam menyiasat Cik Siti Salmy kerana kecuaian.
''Kita perlu mengambil kira bahawa Siti Salmy telah meninggalkan anaknya di bawah jagaan rakan- rakannya sebelum dia hilang.
''Kita tidak boleh menganggap dia meninggalkan kanak-kanak itu untuk bersiar-siar,'' kata ACP Zainuddin, sambil menambah bahawa tidak ada rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan Allahyarhamha sendirian.
Cik Siti Salmy mendakwa meninggalkan kanak-kanak itu dengan rakan-rakan apabila dia menggunakan tandas di tingkat empat kompleks Kota Raya kira-kira 3 petang 29 Mei lalu. Ketika beliau kembali sekitar lima minit kemudian, Allahyarhamha tiada bersama rakan-rakannya.
ACP Zainuddin berkata polis masih merekodkan kenyataan daripada rakan-rakan Cik Siti Salmy, dan beliau menafikan Cik Siti Salmy mengenali suspek. ''Apabila kami menyoal beliau, Cik Siti Salmy berkata dia tidak tahu siapa lelaki itu,'' katanya. ACP Zainuddin berkata Cik Salmy kini mungkin tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya.
''Kami masih menyiasat motif di sebalik pemenggalan leher kanak-kanak itu,'' tambahnya, sambil menolak ia pembunuhan ritual. - The Star