GEORGE TOWN: Impian zaman kanak-kanak Allahyarhamha Nur Shazana Mohamed Salleh adalah untuk menjadi seorang pramugari.
Namun, impiannya menjadi mimpi ngeri apabila Allahyarham, 31 tahun, yang berasal dari Penang menjadi antara kakitangan pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine dekat sempadan Rusia.
Keluarganya sedang menangis teresak-esak apabila ditemui di rumah mereka di Persiaran Mayang Pasir.
Encik Mohamed Salleh Shamsuddin, 54 tahun, berkata bahawa kali terakhir beliau berkomunikasi dengan anak perempuannya itu adalah menerusi aplikasi WhatsApp, 24 jam sebelum pesawat malang itu berlepas dari Amsterdam.
"Allahyarhamha meminta saya sekeping gambar cucu saya kerana merinduinya.
"Allahyarhamha juga meminta salinan MyKad saya dan isteri saya," kata beliau.
Dengan berlinangan air mata, Encik Mohamed Salleh juga berkata bahawa anaknya memberitahu yang beliau akan pulang pada hari pertama Hari Raya dan mahukan mereka menunggunya sebelum pergi menziarah tanah perkuburan.
Ibu Allahyarhamha, Cik Sharom Ibrahim, 57 tahun, berkata anaknya adalah yang tertua di kalangan empat beradik dan telah bekerja bersama MAS selama sembilan tahun - The Star