Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERASMIAN PRESIDEN BARU AMERIKA

Presiden Biden ikrar baiki semula jalinan dengan dunia

Jan 22, 2021 | 05:30 AM



  • Tolak pendekatan mantan presiden Trump yang 'dahulukan Amerika'

  • Gesa atasi jurang politik dan sosial yang pecah belahkan perpaduan di kalangan warganya

WASHINGTON: Presiden baru Amerika Syarikat Joe Biden berikrar akan memperbaiki jalinannya dengan negara-negara perikatan dan kembali berhubungan dengan dunia, semasa berucap sebagai Presiden ke-46 Amerika Syarikat kelmarin.



Dalam menolak pendekatan pendahulunya, Encik Donald Trump, yang "mendahulukan Amerika" hingga mengasingkan negara itu, beliau berkata: "Amerika telah diuji dan kita muncul lebih kuat daripadanya. Kita akan memperbaiki jalinan dan berhubungan dengan dunia sekali lagi.



"Bukan untuk memenuhi cabaran semalam tetapi cabaran hari ini dan hari muka. Dan kita akan memimpin bukan hanya dengan menonjolkan kuasa tetapi menerusi teladan kita."



Encik Biden berikar bahawa Amerika akan menjadi rakan yang lebih kuat dan dipercayai untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan, dan ia akan "kembali dengan kuasa memimpin yang baik untuk dunia."



Encik Biden menyandang jawatan di tengah-tengah cabaran getir, dari pandemik yang membunuh 400,000 orang dan jutaan warga kehilangan pekerjaan, kepada meningkatnya sikap perkauman kulit putih dan pengganasan dalam negara.



Kesatuan, katanya, adalah kunci untuk mengatasi krisis-krisis yang dihadapi dan merupakan jalan keluar dalam menangani perubahan iklim dan menyampaikan keadilan kaum.



"Ini adalah masa ujian. Kita berdepan dengan serangan ke atas demokrasi kita dan ke atas kebenaran. Ia satu virus yang sedang menular hebat. Meningkatnya ketidakseimbangan. Sengatan sistemik perkauman. Iklim berdepan krisis. Peranan Amerika di dunia," katanya.



"Setiap satu ini cukup untuk mencabar kita dengan begitu bermakna sekali, tetapi hakikatnya ialah kita menghadapinya sekali gus, mendedahkan negara ini dengan tanggungjawab paling getir yang pernah kita hadapi.



"Sekarang kita akan diuji. Apakah kita akan ke depan, kita semua? Kini adalah masa untuk menjadi berani, kerana banyak yang perlu dilakukan."



Encik Biden meluangkan sebahagian besar ucapannya menggesa rakyat Amerika mengatasi jurang politik dan sosial yang begitu memecahbelahkan rakyat, menyeru mereka menghormati satu sama lain dan mengadakan dialog dengan lebih berhemah.



"Setiap perbalahan tidak seharusnya menyebabkan perang besar. Kita mesti menolak budaya di mana kita dimanipulasi dan apabila kenyataan dibuat-buat," katanya, dan mengutuk mereka yang buat cerita, menganggap sikap sedemikian adalah "kebohongan untuk kuasa dan untuk keuntungan".



"Sedang Amerika tidak harus memandang ke dalam, rakyat Amerika tidak harus beralih pandang dan menyertai pasukan pesaing," ujarnya.



Kita mesti menghentikan perang tidak sivil ini yang menonjolkan merah lawan biru. Kampung lawan bandar, konservatif lawan liberal. Kita boleh lakukan jika kita membuka jiwa kita dan bukannya dengan mengeraskan hati," kata Encik Biden.



Hakikatnya, Encik Biden memulakan tugas sebagai Presiden dengan tekad optimis untuk mengukuhkan perpaduan.



Beliau berikrar akan merapatkan jurang perpecahan rakyat yang semakin mendalam serta mengatasi ekstremisme domestik, kira-kira dua minggu selepas tercetus rusuhan ganas bagi menafikan kemenangannya pada Pilihan Raya Presiden.



Encik Biden, 78 tahun, mengangkat sumpah jawatan di bangunan Capitol, iaitu lokasi insiden rusuhan pada 6 Januari lalu, disusuli Cik Kamala Harris, 57 tahun, yang muncul sebagai wanita pertama menjadi Naib Presiden Amerika.



Ia sekali gus 'menutup buku' pentadbiran Encik Trump, 74 tahun, selama empat tahun yang dilihat sebagai huru-hara dan kini menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah Amerika.



Meskipun tanpa kehadiran orang ramai menyusuli kawalan keselamatan yang ketat dan faktor pandemik Covid-19, Encik Biden tetap melontarkan ucapan penuh bersemangat di hadapan National Mall.



"Demokrasi adalah sangat berharga. Demokrasi adalah rapuh dan ketika ini, rakan sekalian, demokrasi terus wujud.



"Kita mesti menamatkan perang tidak bertamadun ini yang saling melaga-lagakan, pedalaman melawan bandar, konservatif melawan liberal.



"Kita mampu melakukannya jika bersikap terbuka dan tidak keras hati, menzahirkan sifat bertolak ansur serta rendah hati, dan bersedia untuk saling memahami.



"Kita bersama-sama melakarkan kisah rakyat Amerika mengenai harapan, bukan ketakutan; perpaduan, bukan perpecahan; diterangi sinar, bukan dirundung kegelapan.



"Kisah mengenai kesopanan, maruah, kasih sayang, pemulihan dan kebaikan," katanya.



Encik Biden, yang berpengalaman menyandang jawatan Naib Presiden selama lapan tahun semasa di bawah pentadbiran Encik Barack Obama sebelum ini, turut meminta penyokong Trump supaya mengetepikan permusuhan politik.



"Saya akan menjadi Presiden kepada seluruh rakyat Amerika," katanya sambil menegaskan negara ini sedang berdepan peningkatan ekstremisme politik, isu ketuanan kulit putih serta keganasan domestik yang mesti ditentang dan akan diatasi.



"Sejarah menyaksikan pergelutan berterusan antara impian ideal rakyat Amerika bahawa kita semua diciptakan sama, dengan hakikat jelik bahawa perkauman, keperibumian, ketakutan dan cercaan telah sekian lama memecahbelahkan kita," katanya.



Dalam pada itu, Encik Trump meninggalkan Rumah Putih buat kali terakhir beberapa jam sebelum penggantinya mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika.



Encik Trump, bersama isterinya, Cik Melania Trump, turut berjalan atas permaidani merah sebelum menaiki helikopter rasmi, Marine One, di halaman Rumah Putih menuju ke pangkalan udara Andrews.



"Tempoh empat tahun ini amat menakjubkan. Kami akan kembali," katanya di hadapan ratusan penyokong sebelum menaiki pesawat Air Force One buat kali terakhir menuju Florida.



Beliau yang sebelum ini lantang mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya Presiden turut mendoakan kejayaan pentadbiran Encik Biden. - Agensi berita.




MASA UNTUK JADI BERANI



"Ini adalah masa ujian. Kita berdepan dengan serangan ke atas demokrasi kita dan ke atas kebenaran. Ia satu virus yang sedang menular hebat. Meningkatnya ketidakseimbangan. Sengatan sistemik perkauman. Iklim berdepan krisis. Peranan Amerika di dunia. Setiap satu ini cukup untuk mencabar kita dengan begitu bermakna sekali, tetapi hakikatnya ialah kita menghadapinya sekali gus, mendedahkan negara ini dengan tanggungjawab paling getir yang pernah kita hadapi. Sekarang kita akan diuji. Apakah kita akan ke depan, kita semua? Kini adalah masa untuk menjadi berani, kerana banyak yang perlu dilakukan."
- Presiden Joe Biden.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >