SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Moon Jae-in, memerintahkan semalam agar ujian Covid-19 diperluas dan penelusuran (pencarian masalah) lebih teliti diusahakan, sedang negara itu berusaha sedaya upaya mengawal gelombang terbaru dan terbesar jangkitan koronavirus itu.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDA) melaporkan 615 kes baru Covid-19 hingga 12 malam kelmarin, sekali gus menandakan selama sebulan negara itu menyaksikan peningkatan kes tiga angka setiap hari, dengan 8,311 pesakit dikuarantin - jumlah tertinggi sejauh ini.
Encik Moon memerintah agar pemerintah menggunakan kesemua sumber tersedia untuk menjejak jangkitan dan memperluas ujian dengan mengerahkan pasukan tentera dan lebih ramai orang daripada perkhidmatan awam, kata jurucakap Rumah Biru presiden, Encik Chung Man-ho, dalam satu sidang media.
Encik Moon berkata kawasan ujian harus beroperasi lebih lama untuk membolehkan orang yang bekerja menjalani ujian tersebut mengikut keselesaan mereka. Lebih banyak kemudahan ujian pandu lalu juga perlu disediakan, kata Encik Chung.
Menurut KDCA, kadar hasil positif bagi kumpulan ujian terkini di Korea Selatan ialah sekitar 4.2 peratus, berbanding kadar purata tahun ini, iaitu 1.2 peratus.
Kelmarin, pihak berkuasa berkata mereka akan menerapkan peraturan jarak selamat lebih ketat bagi ibu kota Seoul dan kawasan sekitarnya. Ini akan dilaksana seawalnya hingga akhir bulan ini.
Korea Selatan mengelakkan menerapkan kawalan pergerakan namun menggunakan sistem penjejakan, ujian dan kuarantin intensif untuk mencegah dua gelombang penularan virus itu sebelum ini.
Namun bagi gelombang ketiga ini, pemerintah menerima lebih banyak kritikan kerana jumlah kes terus meningkat meskipun langkah-langkah ketara, seperti penggunaan pelitup, perintah berkurung, dan sekatan lain, telah dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, bilangan kes semalam jatuh sedikit berbanding kelmarin, yang menyaksikan 631 kes baru, menurut laporan oleh KDCA.
Ia jumlah terbesar sejak jangkitan memuncak pada Februari dan Mac lalu.
Secara keseluruhan, Korea Selatan melaporkan 38,161 kes dan 549 pesakit terkorban.
Pihak kesihatan berkata jika trend peningkatan kes berterusan, sistem penjagaan di hospital mungkin tergugat. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg