Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Dunia

Presiden Korea Selatan yakin perjanjian hapus nuklear Korea Utara

Apr 21, 2018 | 05:30 AM

SEOUL: Korea Utara komited terhadap "pelenyapan penuh nuklear" dan tidak akan membuat tuntutan yang tidak dapat diterima, seperti penarikan tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di Korea Selatan, kata Presiden Korea Selatan, Encik Moon Jae In, kelmarin, seminggu sebelum sidang puncaknya bersama pemimpin Pyongyang, Encik Kim Jong-un.

Encik Moon menyatakan keyakinannya tentang menandatangani perjanjian pelenyapan nuklear bersama Korea Utara dan bergerak ke arah menamatkan secara rasmi Perang Korea.

Ini bermakna menggantikan gencatan senjata yang menamatkan perang antara dua negara Korea itu pada 1953 dengan satu perjanjian damai.

Dalam pertemuan eksekutif dengan media utama kelmarin, beliau juga menyeru langkah-langkah berani dan kreatif ke arah pelenyapan nuklear, sambil berkata kesungguhan dan usaha Korea Selatan "mewujudkan nasib kita sendiri" telah membolehkan ia memperbaiki hubungan antara dua Korea yang dingin pada masa lalu disebabkan provokasi berterusan Pyongyang, lapor akhbar The Straits Times.

"Kita tidak boleh mengulangi kesilapan masa lalu kita. Kita mesti mencari huraian baru yang boleh disepakati oleh semua pihak," katanya.

Encik Moon, seorang pemimpin liberal yang mendesak perdamaian dengan Utara, dijadualkan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan Encik Kim pada Jumaat depan di kampung Panmunjom, yang terletak dalam bahagian Korea Selatan zon bebas tentera yang memisahkan dua Korea.

Matlamat utama pertemuan itu kemakmuran bersama kedua-dua negara Korea melalui perdamaian dan pelenyapan nuklear, ujar Encik Moon.

Ini memerlukan Pyongyang membangun hubungan dengan Washington dan Tokyo, dengan sokongan daripada Beijing dan juga masyarakat antarabangsa, katanya.

Apa yang Encik Kim mahu sebagai balasan ialah pemberhentian "dasar bermusuhan" terhadap Korea Utara dan jaminan keselamatan rejim itu, kata Encik Moon.

Beliau juga menyeru usaha "menjadikan sidang puncak antara Korea sebagai permulaan baik", supaya ia dapat membawa kepada mesyuarat positif antara Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dan Encik Kim, yang dijangka diadakan akhir bulan depan atau awal Jun.

Sementara itu, pentadbiran Trump berhati-hati terhadap pendirian terbaru Encik Kim itu dan secara peribadi menolak idea Korea Utara menghentikan permintaannya agar tentera Amerika dikeluarkan dari Korea Selatan kerana penarikan tentera Amerika tidak pernah ditimbangkan, lapor New York Times semalam.

Encik Mike Pompeo, pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) yang dihantar senyap-senyap oleh Presiden Trump ke Pyongyang dua minggu lalu untuk bertemu Encik Kim tidak meminta beliau berhenti membuat tuntutan itu.

Langkah Encik Kim itu boleh meningkatkan tekanan ke atas Amerika Syarikat agar menyokong rundingan antara Korea Utara dan Korea Selatan berhubung perjanjian damai bagi menamatkan Perang Korea.

Para pegawai berkata matlamat akhir Encik Trump ialah memaksa Korea Utara melepaskan program nuklearnya.

Perjanjian damai, kata mereka, harus ditandatangani hanya selepas Pyongyang melakukan itu.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian