Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Presiden Ukraine tegur Israel tidak bekal peluru berpandu, kenakan sekatan atas Russia

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Presiden Ukraine tegur Israel tidak bekal peluru berpandu, kenakan sekatan atas Russia

Mar 22, 2022 | 05:30 AM

LVIV (Ukraine): Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menegur Israel dengan bertanya mengapa ia tidak membekalkan peluru berpandu pertahanan kepada negaranya atau mengenakan sekatan ke atas Russia berkaitan pencerobohan Moscow terhadap Ukraine.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi ucapan di Parlimen Israel kelmarin.

Menjawab pertanyaan Encik Zelensky, Menteri Luar Israel, Encik Yair Lapid, berkata dalam satu kenyataan bahawa Israel, yang telah menghantar hospital lapangan dan bantuan kemanusiaan lain ke Ukraine, akan terus membantu rakyat negara itu "sebanyak yang ia boleh".

Sebagai orang tengah dalam krisis dua negara berjiran itu, Israel telah mengutuk pencerobohan Russia.

Tetapi ia juga berhati-hati agar tidak menjejas hubungannya dengan Moscow, perantara kuasa di negara jirannya Syria di mana tentera Israel kerap menyerang militia pro-Iran.

"Semua orang tahu bahawa sistem pertahanan peluru berpandu anda adalah yang terbaik... dan anda pasti boleh membantu rakyat kami, menyelamatkan nyawa rakyat Ukraine, Yahudi Ukraine," kata Encik Zelensky, yang juga seorang Yahudi, kepada Knesset (Parlimen) Israel dalam satu panggilan video.

"Kami mahu bertanya mengapa kami tidak boleh menerima senjata daripada anda, mengapa Israel tidak mengenakan sekatan ketat ke atas Russia atau tidak memberi tekanan ke atas perniagaan Russia," katanya dalam ucapan itu, salah satu daripada beberapa yang telah dilakukannya kepada badan perundangan luar negara.

Encik Zelensky menyebut sistem Iron Dome Israel, yang sering digunakan untuk memintas roket yang ditembak militan Palestin di Gaza.

"Walau apa pun, pilihan adalah milik anda, saudara dan saudari, dan anda mesti hidup dengan jawapan anda, rakyat Israel," katanya.

Perdana Menteri Israel, Encik Naftali Bennett, yang mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dua minggu lalu di Moscow dan kerap bercakap bersamanya dan Encik Zelensky sejak itu, adalah antara lebih 100 daripada 120 anggota parlimen yang mengambil bahagian dalam panggilan video itu.

Beliau tidak membuat sebarang komen serta--merta selepas pemimpin Ukraine itu berucap. - Reuters, AFP.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3