SEOUL: Sebuah mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang profesor universiti pada Khamis (26 Nov), kerana memaksa seorang pelajar makan najis manusia dan minum air kencingnya semasa tempoh serangan fizikal dan psikologi dua tahun.
Hukuman itu dua tahun lebih lama daripada yang dituntut pendakwa, mencerminkan, kata mahkamah, "kekejaman tidak dapat dibayangkan" yang dilakukan profesor berusia 52 tahun itu, yang menyerupai "pembunuhan psikologi".
Profesor tersebut, yang hanya dikenali dengan nama keluarganya Jang, ditangkap pada Julai selepas pelajar reka bentuk yang kini berusia 29 tahun itu cuba membunuh diri.
Penderaan itu bermula selepas Jang menggajikan pelajar lelaki tersebut untuk bekerja dengan sebuah pertubuhan tidak cari untung.
Mahkamah diberitahu profesor itu - dibantu bekas pelajar lain yang dituduh sebagai defendan bersama - menyerang pelajar tersebut dengan kayu besbol dan senjata lain.
Dia juga menutup muka pelajar itu dengan beg plastik penuh dengan semburan lada dan kemudian memberinya makan najis manusia.
Mangsa memberitahu polis beliau menerima penderaan itu dengan harapan Jang mungkin membantunya mencari pekerjaan j sebagai profesor kolej.
Tiga pelajar yang membantu Jang dijatuhi hukuman penjara antara tiga dan enam tahun. - AFP