KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada ketua parti dan gabungan
yang menang banyak kerusi Parlimen untuk bekerjasama membentuk sebuah
pemerintah baru.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil
Shamsuddin, ketua parti dan gabungan juga dititah mengemukakan nama calon
perdana menteri kepada Istana Negara sebelum 2 petang esok (Isnin).
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Fadil selepas Istana Negara
menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 tengah hari Ahad (20 November).
Menurut Datuk Seri Ahmad Fadil dokumen dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri
Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti
mudah untuk membentuk kerajaan baharu.
"Menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al- Mustaffa Billah Shah, Istana Negara meminta kerjasama Yang Dipertua Dewan
Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk memohon kepada ketua parti politik dan
ketua gabungan parti poliftik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk
memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti politik yang
telah dipersetujui antara parti politik atau gabungan parti politik berkenaan bagi
pembentukan kerajaan baru pasca PRU15.
“Ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik tersebut akan diminta Yang
Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti politik yang
telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan
Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan
parti politik berkenaan untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana
Negara sebelum jam 2.00 petang, esok," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan
Persekutuan, titah perkenan dan keputusan pembentukan pemerintah baru dan
pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang sudah dijelaskan adalah
muktamad.
Berikutan itu, menurut Datuk Seri Ahmad Fadil, baginda menasihati rakyat dan ketua
parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan
PRU-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana
negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang
amanahnya.
Beliau berkata, baginda juga mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah
kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat
dan memacu agenda kesejahteraan negara.
Sehubungann itu, tambah beliau, baginda mengajak rakyat untuk bersama
mendoakan semoga proses pembentukan pemerintah baru ini dipermudahkan dan
berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.