Rencana tulisan Mohamed Syafiq Ayub. dipetik daripada Berita Harian Malaysia
JUMLAH lebih empat juta rakyat Malaysia menggunakan aplikasi TikTok turut menarik perhatian golongan ahli politik untuk beralih ke arah platform itu kerana bukan sahaja cara muat naiknya mudah, bahkan penyampaian mesej lebih senang difahami.
Dalam tempoh dua tahun ini, golongan ahli politik mengubah cara membina pengaruh kepada lebih aktif tetapi kebanyakannya berkongsi secara ringkas.
Justeru, TikTok dijangka menjadi pelantar pilihan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bersama aplikasi WhatsApp yang sudah digunakan meluas ketika kempen PRU14.
Penganalisis politik juga berpendapat kedua-dua aplikasi itu dilihat mempunyai capaian meluas tidak terbatas umur. Aplikasi seperti Twitter biasanya menjadi pilihan individu berusia bawah 30 tahun, manakala Facebook pula antara 30 hingga 60 tahun.
Kempen pilihan raya menerusi internet mula signifikan pada 2008 melalui blog dan agensi berita persendirian, manakala PRU pada 2013 turut digelar sebagai pilihan raya media sosial kerana semua pelantar media sosial digunakan untuk penyaluran maklumat.
Justeru, PRU15 bagi sebahagian penganalisis dijangka menjadi pilihan raya TikTok apabila media sosial berkonsepkan video pendek dan penerangan ringkas digunakan secara meluas semua parti politik.
Gelombang TikTok tidak boleh dielakkan berikutan pelantar itu meraih populariti tertinggi pada PRU di Jerman, Colombia, Filipina dan Amerika Syarikat (AS).
TikTok juga sedang membentuk 'inkubator' utama bagi maklumat tidak berasas dan mengelirukan seperti Facebook dan Twitter menjejaki maklumat palsu dalam talian. Kualiti sama membolehkan TikTok menyemarakkan aliran tular, jangkauan platform besar, panjang pendek videonya dan algoritma pengesyoran.
Secara umumnya, banyak kajian dijalankan untuk meneliti media baharu sebagai medium penyebaran maklumat politik, sekali gus mengesahkan ia terbukti penting sebagai instrumen menyebar luas aktiviti politik dalam masyarakat.
Media baharu diterima rakyate
Bukan itu sahaja, malah hasil dapatan kajian ini juga memperlihatkan kebanyakan responden menunjukkan peratusan kepuasan tinggi dan persepsi positif terhadap penggunaan media baharu sebagai saluran penyebaran maklumat politik.
Justeru, PRU15 hampir pasti akan menjadi 'pilihan raya Tik Tok' kerana media sosial berkonsepkan video pendek dengan penerangan ringkas digunakan meluas oleh semua parti politik.
Kita akan melihat lebih banyak ahli politik memanfaatkan kandungan video singkat dengan durasi maksimum tiga minit yang dianggap sangat membantu dalam menyampaikan maklumat lebih mudah difahami.
Bagaimanapun, kewujudan media sosial ini turut mencetuskan pelbagai andaian terhadap rupa bentuk keputusan nanti dan apakah faktor menyumbang kemenangan atau kekalahan parti tertentu.
Malah ada pihak bimbang kerana tidak pasti kecenderungan pengundi muda kali ini khususnya Melayu. Ada aktivis dan pemimpin politik mengandaikan golongan ini bakal menentukan keputusan PRU. Sejauh manakah andaian itu benar?
Hakikatnya, zaman pengundi muda mempercayai segala maklumat politik daripada media sosial dan internet hingga terus teruja dengan pelbagai slogan termasuk 'Ubah' dan 'Menyelamatkan Malaysia' sudah berlalu.
Kajian mendapati pengundi muda semakin bijak membuat penilaian terhadap maklumat disebar luas atau tular dalam media sosial bermotif politik. Orang muda juga tertarik dengan faktor ini - lebih sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi bakal diwujudkan dengan menggunakan aplikasi TikTok untuk mempengaruhi pemikiran golongan muda dan disediakan dan pertingkatkan.
Malah, aplikasi ini menyediakan dan membentuk acuan, hasrat serta kehendak warga muda, maka andaian bahawa pengundi muda bakal memihak pembangkang tidak begitu tepat.
Bagaimanapun di sebalik banyak manfaat kepada pengguna terutama generasi muda, pihak berwajib perlu peka dengan sebarang salah guna medium itu dalam kalangan orang politik.
Penulis adalah Pensyarah Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan