Puluhan remaja AS dirawat kerana penyakit paru-paru selepas menggunakan vape

PEGAWAI kesihatan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kes berpuluh-puluh pesakit, kebanyakannya remaja, yang dimasukkan ke hospital dengan penyakit paru-paru yang parah kebelakangan ini.

 Punca penyakit mereka masih menjadi tanda tanya.

Jabatan Kesihatan di Illinois, Minnesota dan Wisconsin telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan kes-kes yang melibatkan pesakit yang menunjukkan tanda-tanda seperti batuk, sesak nafas, pening dan keletihan.

Pegawai-pegawai di tiga negeri itu, yang melaporkan lebih 30 kes yang telah disahkan dan 22 pesakit yang masih dalam siasatan, berkata terlalu awal untuk mengatakan sama ada penyakit itu mempunyai hubungkait.

Menurut pegawai-pegawai tersebut lagi,  mereka sedang bekerja rapat antara satu sama lain dan dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk menyiasat selanjutnya.

Menurut laporan media AS, ada di antara pesakit yang terlibat dalam kegiatan “dabbing", iaitu menggunakan vape untuk menghisap ganja. 

Dr Thomas Haupt, ahli epidemiologi penyakit pernafasan dengan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Wisconsin, memberitahu AFP semalam (15 Ogos): "Kami dalam proses menemuduga kesemua pesakit kami, untuk mencari sebarang persamaan.

"Pada masa ini, menggunakan vape adalah satu-satunya perkara yang sama antara mereka, tetapi kami ingin menyiasat lebih lanjut untuk pastikan kami tidak terlepas pandang sebarang perkara."

Penemuan ini membingungkan golongan pakar, kerana beberapa penyelidikan saintifik menunjukkan bahawa e-rokok (e-cigaretters) yang sudah tersedia ada di AS sejak 2006 mungkin alternatif yang kurang toksik berbanding putung rokok biasa.

Kegunaan e-rokok di kalangan remaja AS juga didapati melonjak: kira-kira 3.6 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah pos-menengah menggunakan produk vape pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 1.5 juta berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan oleh CDC.