Serangan Amerika ke atas pangkalan udara Syria

Putin: Amerika langgar undang-undang a'bangsa

MOSCOW (Russia): Amerika Syarikat telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan melancarkan serangan udara ke atas pangkalan udara tentera udara Syria, tanpa mengemukakan sebarang bukti berkenaan penggunaan senjata kimia oleh pemerintah Damsyik, kata Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, semasa diwawancara saluran televisyen Mir, yang dilaporkan agensi berita Itar-Tass, hari ini.

"Bagaimanakah Nato bertindak? Mereka hanya enggeh tanpa mengkaji kejadian tersebut. Di manakah bukti senjata kimia digunakan oleh tentera Syria? Tidak ada. Adakah berlakunya pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa? Ya, ada. Ia adalah sesuatu yang boleh dibuktikan.

"Tanpa mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu serangan udara dilakukan ke atas sebuah negara berdaulat.

"Meskipun jelas ia melanggar undang-undang antarabangsa, semua orang bersetuju mengenainya, menerimanya dan mula mengangguk (membenarkannya) dan melahirkan sokongan mereka," kata Encik Putin semasa previu yang diadakan oleh laman saluran berkenaan, hari ini (12 Apr).

Awal sebelum ini, presiden Russia itu telah membandingkan penggunaan senjata kimia di Syria dalam kejadian 2003, bila Amerika menggunakan senjata kimia di Iraq sebagai alasan untuk memulakan kempen ketenteraan di negara tersebut.

Pada 7 April lalu, Presiden Amerika Donald Trump, telah mengarahkan serangan ke atas pangkalan tentera udara Shayrat yang terletak di wilayah Homs.

Serangan itu melibatkan penggunaan 59 peluru berpandu Tomahawk, sebagai respons terhadap dakwaan penggunaan senjata kimia di wilayah Idlib pada 4 April lalu.

Pihak berkuasa Amerika percaya serangan udara di Idlib telah dilancarkan dari pangkalan udara Shayrat, namun gagal mengemukakan sebarang bukti penggunaan senjata itu, sejauh ini.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, pada awalnya mengutuk serangan ganas ke atas sebuah negara berdaulat.

Namun kenyataan Encik Putin ditolak pentadbiran Trump.

Di Washington, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis, berkata "tidak ragu-ragu" lagi rejim Syria mendalangi serangan kimia di negara itu minggu lalu.

Menurutnya, dakwaan Russia hanyalah satu percubaan untuk mengelirukan siapa sebenarnya bertanggungjawab bagi kejadian ngeri pada 4 April lalu apabila 87 penduduk awam terkorban di Idlib dibuat ketika Setiausaha Negara Amerika, Encik Rex Tillerson, tiba di Moscow untuk bersemuka Kremlin berhubung sokongan kepada Presiden Bashar al-Assad.

Amerika semalam menuduh Russia cuba melindungi pemimpin Syria daripada dipersalahkan atas serangan gas beracun minggu lalu.

Bagaimanapun, Russia kekal mempertahankan Presiden Bashir a--Assad, sekutu kuatnya, daripada dakwaan Amerika bahawa tenteranya melancarkan serangan, dengan berkata tiada bukti rejim Syria melakukannya. - Agensi

Galeri Foto