SEOUL: Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu jarak dekat di luar pantai timur pada Selasa (29 Mac), menurut tentera Korea Selatan, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak mengenai program nuklear dan roket Pyongyang.
Peluru berpandu yang dilancarkan dari kawasan dekat bandar pantai Wonsan, terbang arah ke timur laut kira-kira 200 km dan kemudian "kena" tanah besar, kata tentera Korea Selatan.
Korea Utara melancarkan rentetan ujian peluru berpandu jarak dekat sejak beberapa minggu lalu dalam apa yang media pemerintah cirikan sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ujian keempat nuklearnya pada Januari.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, akan bertemu Presiden Korea Selatan, Cik Park Geun Hye, dan Perdana Menteri Jepun, Encik Shinzo Abe, pada Khamis bagi membincangkan program nuklear Korea Utara, Rumah Putih berkata.
Mesyuarat di luar acara sidang puncak keselamatan nuklear di Washington itu akan diadakan pada hari sama Encik Obama mengadakan perbincangan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.
"Mesyuarat ini akan menjadi peluang bagi tiga pemimpin itu membincangkan respons bersama terhadap ancaman Korea Utara dan memajukan bidang kerjasama keselamatan tiga hala," kata Rumah Putih.
Pada esok dan Jumaat, Encik Obama akan menyambut delegasi peringkat tertinggi dari pelbagai negara untuk membincangkan kebimbangan mengenai keselamatan nuklear.
Kebimbangan bahawa militan daripada kumpulan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) boleh mendapatkan bahan nuklear dijangka menjadi agenda besar sidang puncak tersebut.
Walaupun sidang puncak itu tidak akan menangani isu-isu berkaitan ujian senjata Korea Utara baru-baru ini, ia boleh menyentuh soal menghentikan bahan nuklear daripada sampai ke negara itu, yang boleh digunakan untuk membangunkan senjata.
Pyongyang sedang berusaha untuk memperoleh peluru berpandu balistik yang dilancar dari kapal selam (SLBM), satu keuapayaan yang akan meningkatkan ancaman serangan nuklearnya ke tahap baru, membolehkan ia menjalankan pengerahan jauh di luar semenanjung Korea dan membuatnya berpotensi bertindak balas sekiranya berlaku serangan nuklear. - Reuters, AFP