Rakyat Indonesia keluar mengundi Rabu, perhatian tertumpu pada pemilihan gabenor Jakarta

JAKARTA - Puluhan juta rakyat Indonesia akan mengundi di serata negara Rabu (15 Feb) ini dengan perhatian tertumpu bagi pemilihan jawatan Gabenor Jakarta yang diselaputi ketegangan politik dan agama.

Penyandang Basuki Tjahaja Purnama, pemimpin etnik Cina beragama Kristian pertama di Jakarta, telah menimbulkan kemarahan sesetengah pengundi Muslim kerana didakwa menghina Al-Quran. Beliau menafikan salah laku, tetapi sedang menjalani perbicaraan. Kumpulan hak asasi dan penyokongnya melihat kes itu sebagai bermotifkan politik.

Encik Basuki, yang lebih dikenali sebagai Ahok, disokong oleh pihak Presiden Joko Widodo. Pesaingnya ialah Encik Agus Yudhoyono, anak mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas menteri pendidikan Anies Baswedan.

Kedua-dua calon Muslim kelihatan mendapat sokongan lebih banyak undi Islam konservatif dan beberapa penyokong Basuki.

"Dari segi prestasi, saya menyokong Ahok," kata Encik Ferdi Ramadhan, 20 tahun.

"Bagaimanapun, ada pertimbangan agama. Saya seorang Muslim ... jadi saya fikir saya akan mengundi Anies Baswedan," katanya, selepas menyertai pertandingan papan luncur taman di sebuah taman di ibu negara. Ia dibina di bawah pentadbiran Encik Basuki di tapak sebuah bekas kawasan lampu merah.

Encik Basuki telah popular di kalangan kelas menengah kerana mengurangkan birokrasi dan menggerakkan projek-projek prasaranan seperti membina benteng pencerobohan air laut.

Tetapi pemindahan secara paksa penduduk setinggan di tebing sungai telah menimbulkan kemarahan ramai penduduk Muslim di situ.

Islam membentuk kira-kira 85 peratus daripada penduduk di bandar ini, yang juga mempunyai minoriti Kristian dan kaum minoriti lain yang agak besar.

Perpecahan itu diperbesarkan di kalangan masyarakat, keluarga dan rakan-rakan - banyak di media sosial dan diburukkan lagi oleh 'berita palsu' berkaitan Brexit dan pemilih Presiden Donald Trump dalam pilihan raya Amerika.

"Secara peribadi saya mual mempertikaikan calon-calon ini dan ingin melangkah ke depan. Ia menimbulkan banyak tekanan dari segi persahabatan," kata Cik Sari Ekaputri, seorang eksekutif pemasaran, 38 tahun, yang tinggal di Jakarta.

Polis Jakarta akan mengerahkan 16,000 pegawai menjelang hari mengundi ekoran kebimbangan bahawa beberapa kumpulan berkeras cuba mengadakan perhimpunan seperti akhir tahun lalu menyeru supaya Encik Basuki dihukum penjara.

Polis mengharamkan perhimpunan yang dirancang oleh kumpulan Islam pada 11 Feb kerana kebimbangan keselamatan.

Walau menghadapi tuduhan, Encik Basuki kelihatan mendahului persaingan.

Pilihan raya Jakarta merupakan antara yang berlangsung di wilayah-wilayah, bandar dan daerah di seluruh Indonesia.

Tetapi taruhan di tempat lain tidak setinggi di Jakarta.

Kemenangan di Jakarta boleh menjadi batu loncatan bagi jawatan presiden. Pengundian Rabu ini dilihat sebagai proksi menjelang pilihan raya presiden 2019.

"Pilihan raya ini boleh menentukan trajektori politik Indonesia masa depan ... sama ada kita akan melihat masa depan yang hodoh, dengan agama dan etnik dipolitikkan," kata Dr Tobias Basuki, seorang penganalisis politik dalam kumpulan pemikir yang berpangkalan di Jakarta. - Reuters

Galeri Foto