TOKYO: Dengan bacaan doa, bunga dan bendera yang disarungkan dengan reben hitam, rakyat Jepun pada Selasa (12 Julai) mengucapkan selamat tinggal kepada Encik Shinzo Abe, seorang tokoh yang mendominasi politik setempat sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat di negara itu.
Beliau ditembak mati pada satu perhimpunan kempen minggu lalu.
Di tengah-tengah kehadiran polis yang ramai, lelaki bersuit hitam dan bertali leher hitam menyertai wanita berpakaian hitam dan rantai mutiara memasuki kuil Zojoji di ibu kota Tokyo bagi upacara pengebumian privet.
Ratusan orang telah masuk ke kuil itu pada petang kelmarin untuk memberi penghormatan kepada Encik Abe, yang meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Pembunuhannya pada Jumaat lalu oleh seorang penganggur yang menggunakan senjata api buatan sendiri telah mengejutkan sebuah negara di mana jenayah senjata api dan keganasan politik amat jarang berlaku.
Majlis yang dijadual bermula pada 1 tengah hari waktu tempatan (2 petang di Singapura), ditutup kepada media dan terhad kepada keluarga dan rakan rapat.
Selepas upacara itu, van jenazah yang membawa jenazah Encik Abe melalui pusat bandar Tokyo.
Perarakan itu berlangsung di pusat politik Nagatacho di ibu kota itu, termasuk mercu tanda seperti bangunan Parlimen yang kali pertama dimasuki Encik Abe sebagai penggubal undang-undang muda pada 1993, dan pejabat perdana menteri di mana beliau memimpin negara selama dari 2012 hingga 2020.
Sejak awal pagi, barisan panjang orang berpakaian hitam, bercampur dengan orang lain dalam pakaian tidak formal, terbentuk di luar kuil.
Yang lain beratur di depan ibu pejabat Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah untuk memberi penghormatan terakhir di kuil sementara yang diadakan sehingga Jumaat ini.
Kakitangan parti keluar menawarkan teh barli sejuk kepada mereka yang memberi penghormatan itu.
Kira-kira 2,500 orang menghadiri upacara kematian Encik Abe, termasuk Perdana Menteri, Encik Fumio Kishida; ketua pembangkang, Encik Kenta Izumi; Gabenor Bank Jepun, Encik Haruhiko Kuroda, dan sebilangan pemimpin perniagaan.
Hampir 2,000 mesej takziah turut diberikan dari negara di seluruh dunia, kata agensi berita Kyodo. – Reuters.