Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA NEGERI MELAKA

Rakyat Melaka keluar mengundi esok tentukan kerajaan negeri

Pilihan raya luar biasa dengan norma hidup baru saksikan beberapa parti politik didenda atas kesalahan langgar peraturan, garis pandu berkempen yang ditetapkan
Nov 19, 2021 | 05:30 AM



SETELAH 12 hari berkempen dalam keadaan pandemik yang menghalang perhimpunan memancing undi dan garis pandu jarak sosial yang ketat, rakyat Melaka akan keluar mengundi esok untuk menentukan parti yang akan membentuk kerajaan negeri.



Pilihan raya luar biasa dengan norma hidup baru itu menyaksikan beberapa parti politik didenda sehingga RM20,000 ($6,452) setiap kesalahan kerana melanggar peraturan dan garis pandu berkempen yang telah ditetapkan.



Ternyata berkempen melalui media sosial dan laman web begitu sukar apatah lagi untuk mendekati warga emas berusia lebih 50 tahun di kawasan kampung. Golongan ini membentuk sekitar 30 peratus pengundi berdaftar.



Oleh itu, para pemimpin utama parti seperti mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada Barisan Nasional (BN); dan mantan PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada Perikatan Nasional (PN), kelihatan mengadakan lawatan ke kawasan kampung untuk beramah mesra dengan penduduk.



Namun, mereka dilarang memakai baju yang mempunyai logo dan lambang parti atau memberi ceramah politik untuk mendapatkan sokongan.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menjangka 70 peratus pengundi berdaftar akan keluar mengundi.



Tetapi memandangkan kekangan dan larangan berkempen serta kesan psikologi wabak Covid -19 yang dialami, penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Hamidin Hamidin Abdul Hamid, menjangka jumlahnya akan lebih rendah.



"Jumlah pengundi lebih rendah ini sebenarnya memberi kelebihan pada parti-parti yang sudah lama berjuang di Melaka kerana mereka mempunyai pengundi setia atau "hard core" yang tetap akan bersama parti.



"Masalahnya ialah dengan mereka yang "undecided" (tidak pasti) mungkin akan menjadi golongan "uninterested" atau tidak berminat kerana marah dengan kerakusan ahli politik berebut kuasa," jelas Profesor Madya Dr Hamidin, yang juga seorang felo daripada Ilham Centre, sebuah institut kajian.



Kebimbangan risiko jangkitan semakin mendapat perhatian kerana sejak kempen bermula 8 November lalu dengan jumlah pesakit Covid 19 yang dimasukkan ke hospital di Melaka meningkat 57 peratus.



Sejak beberapa hari lepas, PN gabungan Parti Pribumi Bersatu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan lebih agresif berkempen.



Pada 11 November, Tan Sri Muhyiddin melancarkan serangan pertama dengan mengkritik keras kepimpinan pencabar utamanya - BN dan Pakatan Harapan (PH).



Katanya, cara urus tadbir PH sewaktu menerajui kerajaan Persekutuan selama 22 bulan tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.



Beliau turut mengkritik para pemimpin Umno yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Melaka sehingga mengakibatkan pilihan raya negeri terpaksa diadakan dalam keadaan pandemik yang sukar.



Tiga hari kemudian, beliau melancarkan manifesto PN yang membawa slogan 'Melaka Bangkit Gemilang' dengan pendekatan yang berteraskan pembangunan ekonomi dan prihatin suara rakyat.



Strategi lebih lantang dan agresif PN untuk memenangi hati rakyat Melaka memang sudah dijangka sebab mereka dikatakan berada dalam keadaan kurang mantap.



Persaingan sengit merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kelihatan lebih tertumpu di antara BN dengan PH.



Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 pada 2018, Bersatu hanya memenangi dua kerusi DUN berbanding Umno (13 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) dua kerusi, dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) lapan kerusi.



Gabungan pertama Bersatu dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertujuan memikat lebih ramai undi Melayu/Islam negeri itu.



Bagaimanapun, ramai penganalisis politik berpendapat ia adalah satu tugas berat kerana PAS tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Melaka. Malah ia gagal memenangi sebarang kerusi pada 2018.



Prof Madya Dr Hamidin memberi beberapa senario yang mungkin berlaku apabila keputusan PRN Melaka diketahui esok.



"Jika BN menang besar dan kembali berkuasa di Melaka, kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, akan tergugat kerana ini bermakna keputusan BN untuk bertanding sendirian adalah tepat.



"Ini akan mengukuhkan pengaruh Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak. Umno akan kembali menjadi parti yang dominan dalam politik Melayu," kata beliau.



Sebaliknya, jika Umno tidak berupaya mendapat majoriti di Melaka, Umno perlu melihat semula kedudukan dan hubungannya dengan PN dan parti-parti lain.



Besar kemungkinan senario yang akan berlaku adalah tidak ada parti yang mempunyai undi majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.



Ini akan memaksa mereka mencapai satu kompromi dengan parti-parti lain atau calon bebas membentuk kerajaan.



"Apabila ini terjadi, akan timbul kompromi dan persoalan siapa yang akan bekerja dengan siapa. Dengan ketidakstabilan ini, akan berlaku kemungkinan lompat parti lagi.



"Saya berasa ketidakstabilan seperti ini dengan tidak ada parti yang dominan di Malaysia akan mewarnai senario politik Malaysia akan datang," tambah Profesor Madya Dr Hamidin.



Sejumah 28 kerusi DUN dipertandingkan dengan 495,196 pengundi berdaftar.



Sebanyak 48.5 peratus adalah pengundi lelaki; 51.4 peratus pengundi wanita; dan 67 peratus adalah pengundi di bawah usia 50 tahun.




"Jumlah pengundi lebih rendah ini sebenarnya memberi kelebihan pada parti-parti yang sudah lama berjuang di Melaka kerana mereka mempunyai pengundi setia atau "hard core" yang tetap akan bersama parti.



Masalahnya ialah dengan mereka yang "undecided" (tidak pasti) mungkin akan menjadi golongan "uninterested" atau tidak berminat kerana marah dengan kerakusan ahli politik berebut kuasa."
- Profesor Madya Dr Hamidin Hamidin Abdul Hamid, penganalisis politik Universiti Malaya,yang juga seorang felo daripada Ilham Centre.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >