KUALA LUMPUR: PENDUDUK Malaysia yang berada di Singapura tidak pernah dihalang pulang ke Malaysia dan mereka boleh pulang pada bila-bila masa.
Akhbar Berita Harian Malaysia melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata warga Malaysia yang berada di Singapura tidak pernah dihalang untuk kembali ke tanah air seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.
"Kita menerima aduan seolah-olah ada rakyat yang ingin kembali dari Singapura tetapi mereka tidak dibenarkan.
"Seperti diumumkan sebelum ini, rakyat yang berada di Singapura tidak pernah dihalang untuk pulang ke Malaysia sama ada melalui jalan darat atau udara," katanya pada sidang media harian COVID-19 pada Isnin (19 Oktober).
Ismail Sabri berkata, terdapat beberapa kategori permohonan bagi urusan keluar masuk ke Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini.
"Permohonan kebenaran masuk dari Singapura boleh dibuat melalui MyTravelPass yang boleh diakses di laman Internet rasmi Jabatan Imigresen, www.imi.gov.my.
"Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan tidak mahu pulang dengan menggunakan Peraturan Ulang-Alik Berkala (PCA), mereka boleh terus ke Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) atau Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari," katanya.
Beliau juga menambah rakyat Malaysia juga boleh memohon kebenaran pulang menggunakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) seperti diumumkan Kementerian Luar sebelum ini dengan merujuk laman Internet Jabatan Imigresen dan Kementerian Luar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg