Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Dunia

Rakyat M'sia yang berulang-alik bekerja ke S'pura dan Thai terjejas

Mar 18, 2020 | 05:30 AM

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak dibenarkan berulang-alik ke Singapura dan Thailand untuk bekerja apabila Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) dikuatkuasakan di negara ini bermula hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, larangan keluar negara adalah termasuk mereka yang berulang-alik bekerja di Singapura dan Thailand.

"Larangan keluar negara ke atas warganegara Malaysia sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah termasuk mereka yang berulang-alik bekerja di Singapura dan Thailand berkuat kuasa mulai 18 Mac ini sehingga 31 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Kelmarin kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini sehingga 31 Mac ini di seluruh Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin berkata, Perintah kawalan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Ketua Polis Negara Encik Abdul Hamid Bador berkongsi pihaknya sudah bersedia sejak dua minggu lalu untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa hari ini.

"Orang ramai yang ingin balik kampung perlu maklumkan pergerakan mereka kepada polis.

"Mana-mana individu atau premis yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan.

"Kalau pelanggaran berleluasa dalam tempoh dua minggu ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan yang lebih drastik," katanya pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Bekas Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke Siew Fook, pula menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan lebih daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari ke negara itu.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing berkata pemerintah dan persatuan perdagangan Singapura bersedia untuk membantu majikan menyediakan tempat tinggal sementara untuk rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

Menurut laporan Malaysiakini, kerajaan negeri Johor akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk membincangkan 'nasib' rakyat negeri berkenaan yang bekerja dan berulang-alik ke Singapura susulan perintah kawalan pergerakan yang diisytiharkan pada Isnin, bagi menyekat penularan Covid-19 di negara itu.

Mesyuarat ini, akan membabitkan agensi yang terlibat termasuk berkaitan penduduk di negeri Johor yang mencari rezeki di Singapura.

"Kita juga akan berhubung dengan kerajaan pusat bagi membincangkannya dan hasil keputusan akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad.

"Menteri Besar juga akan mengumumkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Covid-19 terutama yang membabitkan rakyat di negeri ini," katanya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Encik Baharudin Tahir, ketika dihubungi Bernama menjelaskan perintah kawalan pergerakan turut tertakluk kepada mereka yang bekerja di Singapura serta berulang-alik ke Malaysia.

"Setakat ini, mengikut pemahaman saya memangnya. Jabatan Imigresen Malaysia akan memperincikannya hari ini. Sebaik siap, kami akan keluarkan arahan atau pekeliling," katanya, semalam.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa tengah malam ini, boleh dikenakan hukuman penjara.

Selain itu, Perdana Menteri Encik Muhyiddin juga mengumumkan perintah kawalan pergerakan untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan budaya serta penutupan sekolah, kerajaan dan premis perniagaan bermula hari ini hingga akhir bulan ini.

Malaysia juga telah mengumumkan pada hair Isnin, penutupan masjid di Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri lain selama 10 hari bermula hari ini sehingga 26 Mac ini.

Hanya perkhidmatan penting dan pasar raya, pasar awam, kedai runcit dibenarkan terus beroperasi.

Di peringkat dunia, kira- kira 173,344 kes jangkitan yang disahkan sehingga kelmarin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan sekitar 7,019 kematian dilaporkan.