BANGKOK: Kemelut politik di Thailand berterusan dalam kalangan ahli politik dan juga penduduk negara itu.
Dalam kalangan anggota politik, satu draf undang-undang yang mahu menghapuskan atau merombak institusi penting yang didakwa telah dikuasai pihak elit tentera telah ditewaskan di Parlimen.
Pada masa sama, ribuan rakyat Thailand memenuhi jalan raya ibu kota Bangkok baru-baru ini untuk menuntut pembaharuan institusi diraja, sekali gus mengingkari keputusan mahkamah bahawa tuntutan sedemikian adalah percubaan mahu menggulingkan institusi itu.
Satu sesi bersama di Dewan Rendah Parlimen dan Senat mengundi 473-206 untuk menolak rang undang-undang yang meminta Perlembagaan yang diluluskan di bawah junta tentera pada 2017, digubal bagi memastikan pengasingan kuasa yang jelas, lapor Reuters.
Menurut penyokong rang itu, kerajaan Thailand masih diketuai arkitek rampasan kuasa 2014, yang kekal berkuasa selepas pilihan raya 2019 yang memihak kepada tentera. Perdana Menteri, Encik Prayut Chan-o-cha, pemimpin rampasan kuasa itu, menafikan perkara itu.
Draf itu disokong 130,000 pempetisyen dan berusaha memansuhkan 250 kerusi Senat yang dilantik junta tentera, di samping menyusun semula mahkamah perlembagaan dan agensi utama negara itu.
Pengkritik kerajaan, termasuk gerakan bantahan yang diterajui pelajar yang muncul tahun lalu, berkata demokrasi telah diketepikan oleh tentera dan sekutu dirajanya, yang mempunyai pengaruh ke atas institusi bebas.
"Perlembagaan 2017 melindungi dan membolehkan Jeneral Prayut meluaskan kuasanya dengan menyediakan mekanisme kawalan melalui Senat dan agensi bebas," kata penyokong rang tersebut, Encik Parit Wacharasindhu, kepada penggubal undang-undang.
Anggota Parlimen prokerajaan mempertahankan Perlembagaan, mengulangi ia telah disahkan dalam satu referendum, selain rampasan kuasa itu perlu untuk menangani krisis politik.
Thailand telah menyaksikan 20 Perlembagaan dan 13 rampasan kuasa sejak berakhirnya pemerintahan beraja mutlak pada 1932.
Sementara itu, bantahan terus diadakan bagi pembaharuan institusi diraja.
Bantahan diadakan di Bangkok sejurus beberapa hari satu keputusan kontroversial dikeluarkan mahkamah yang memutuskan tiga pemimpin bantahan bersalah kerana melanggar Perlembagaan melalui ucapan dan tindakan mereka yang disifatkan bertujuan menjatuhkan institusi diraja.
"Katakan tidak kepada pemerintahan beraja mutlak," laung ribuan penunjuk perasaan, mendakwa keputusan itu adalah percubaan untuk memulihkan pemerintahan beraja mutlak, yang berakhir pada 1932 untuk Thailand," kata seorang penunjuk perasaan.
Mahkamah itu telah memutuskan bahawa pemimpin bantahan Cik Panusaya "Rung" Sithijirawattanakul, Encik Arnon Nampa dan Encik Panupong "Mike" Jadnok telah melanggar Perlembagaan yang melarang sebarang tindakan untuk menggulingkan institusi diraja - melalui ucapan mereka pada tahun lalu yang menyentuh pembaharuan institusi itu dan memansuhkan undang-undang lese majeste.
Cik Panusaya, satu-satunya pemimpin bantahan yang diikat jamin, menafikan mempunyai niat mahu menggulingkan institusi diraja.
"Saya hanya meminta pembaharuan," katanya sejurus selepas keputusan mahkamah itu.
Undang-undang lese majeste yang melarang penghinaan atau fitnah terhadap institusi diraja menjadi perhatian ramai selepas parti politik bercakap tentang mahu mengkaji semula undang-undang itu.
Sejak bantahan yang diketuai golongan muda bermula tahun lepas, sekurang-kurangnya 155 orang telah didakwa atas tuduhan lese majeste.