KYIV: Komander baru tentera Russia di Ukraine, Jeneral Sergei Surovikin, akur pasukannya kian menghadapi tekanan daripada tentera Ukraine sambil memberi bayangan orang awam di bandar Kherson sedang "ditempatkan semula" sekali gus menggambarkan situasi tentera di Ukraine sebagai "tegang."
"Musuh sentiasa cuba menyerang kedudukan tentera Russia," kata Jeneral Surovikin dalam wawancara televisyen pertamanya sejak pelantikannya minggu lalu, sambil menambah bahawa keadaan amat sukar di sekitar bandar selatan Kherson yang kini masih di bawah kawalan tentera Russia.
"Tindakan lanjut mengenai Kherson akan bergantung kepada perkembangan situasi ketenteraan dan taktikal, yang tidak mudah, dan keputusan sukar tidak boleh diketepikan," katanya.
Kenyataan Jeneral Surovikin dibuat di tengah-tengah serangan balas berterusan Ukraine terhadap Russia. Tentera Ukraine telah memaksa tentera Russia di Kherson mundur sejauh 20km-30km dalam beberapa minggu lepas. Akibatnya tentera Russia menghadapi risiko tersepit di tebing barat sungai Dnipro sepanjang 2,200km yang membelah Ukraine.
Tidak lama selepas kenyataan Jeneral Surovikin itu, ketua Kherson yang dilantik oleh Russia, Encik Vladimir Saldo, berkata beberapa orang awam sedang "dipindahkan" ekoran jangkaan "serangan berskala besar."
Di utara di ibu kota Kyiv, Russia menyasarkan lebih banyak peluru berpandu ke atas infrastruktur yang disebut oleh Ukraine dan Barat sebagai kempen untuk menakut-nakutkan orang awam.
Russia telah memusnahkan hampir satu pertiga daripada stesen jana kuasa Ukraine minggu lalu, kata Presiden Volodymyr Zelensky dalam ucapan video malam kelmarin.
Beliau berkata Russia telah menyasarkan lebih 10 wilayah dalam tempoh 24 jam lalu dan menggesa rakyat Ukraine supaya mengurangkan penggunaan elektrik pada waktu malam.
Peluru berpandu melanda stesen janakuasa di Kyiv dan tempat lain, menyebabkan pemadaman dan bekalan air terputus.
Tidak ada maklumat segera mengenai jumlah orang yang terkorban. Sehari sebelumnya, Russia menghantar segerombolan dron untuk menyerang infrastruktur di Kyiv dan bandar-bandar lain, membunuh sekurang-kurangnya lima orang.
Ukraine menuduh Russia menggunakan 'dron nekad' Shahed-136 buatan Iran, yang terbang ke sasaran dan meletup. Kelmarin Iran menafikan membekalkannya dan Kremlin juga menafikan menggunakan senjata itu.
Bagaimanapun, dua pegawai kanan Iran dan dua diplomat Iran memberitahu Reuters bahawa Teheran telah berjanji untuk menyediakan Russia dengan lebih banyak dron serta peluru berpandu darat ke darat.
Encik Zelensky mengutuk Russia kerana menggunakan dron itu.
"Tetapi sekarang, pada tahap taktikal, dengan menggunakan dron Iran, pengganas mungkin masih boleh berharap melaksanakan pelan dan ilusi baru mereka. Namun semua ini akan hancur seperti rancangan mereka sebelum ini," katanya. - Agensi berita.