KYIV: Ukraine mendakwa Russia memusnahkan sebuah teater yang menampung lebih 1,000 orang di bandar pelabuhan selatan Mariupol yang terkepung, tempat ratusan orang awam, termasuk wanita hamil dan kanak-kanak, berlindung dari konflik dua negara itu.
Jumlah kematian belum diketahui.
Encik Pavlo Kyrylenko, ketua Pentadbiran Ketenteraan Donetsk, memuat naik gambar dan video yang memaparkan keadaan bangunan Teater Drama Mariupol dan Neptune Pool di saluran media sosial Telegram.
"Russia sengaja menyerang orang awam," katanya.
"Penjajah memusnahkan teater drama, tempat lebih 1,000 orang berlindung. Kami tidak akan memaafkan perkara ini," kata Majlis Bandar Raya Mariupol melalui siaran Telegram.
Beberapa hari sebelum itu, imej satelit serangan itu, yang dikongsi syarikat swasta Maxar, jelas menunjukkan perkataan 'Deti' - atau kanak-kanak dalam bahasa Russia - terukir pada tanah di kedua-dua belah bangunan itu.
Datuk Bandar Mariupol, Encik Vadym Boichenko, menyifatkan serangan itu sebagai tragedi mengerikan.
"Orang ramai bersembunyi di situ dan ada berkata mereka bernasib baik kerana selamat, namun malangnya tidak semua bernasib baik.
"Satu-satunya perkataan untuk menggambarkan apa yang berlaku hari ini ialah pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan beramai-ramai negara kita, rakyat Ukraine kita.
"Namun saya yakin harinya akan tiba apabila kota Mariupol kita yang indah akan bangkit semula daripada runtuhan," katanya dalam satu mesej video.
Bandar itu sasaran strategik utama Moscow dan berpotensi menghubungkan tentera Russia di Crimea ke barat dan Donbas ke timur, serta menyekat akses Ukraine ke Laut Azov.
Selama beberapa hari tentera Russia mengebom bandar itu - yang pernah mempunyai kira-kira setengah juta penduduk - memutuskan bekalan elektrik, makanan dan air.
Pegawai Ukraine melabel pengeboman itu sebagai jenayah perang.
Penasihat kepada Presiden Volodymyr Zelensky, Encik Mykhailo Podolyak, mengecam kekejaman Russia dan mengejek pihak di Barat yang menolak idea mewujudkan zon larangan terbang kerana "ketakutan terhadap WW3 (Perang Dunia Ketiga) dengan Russia, sambil mereka duduk di kafe Berlin".
Kementerian pertahanan Russia menafikan tenteranya mengebom bandar itu, sebaliknya menyatakan ia musnah dalam letupan oleh batalion Azov nasionalis Ukraine.
Ia mendakwa orang awam yang aman boleh dijadikan tebusan di tapak itu.
Moscow turut menyalahkan unit tentera itu bagi pengeboman ke atas sebuah hospital bersalin di Mariupol minggu lalu, yang mencetuskan bantahan antarabangsa.
Lebih 2,000 orang terbunuh di bandar yang dikepung itu, menurut pihak berkuasa Ukraine. - Agensi berita.