NEW YORK: Russia dan China, yang mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menimbulkan kebimbangan pada 6 Jun terhadap draf ketetapan Amerika Syarikat menyokong cadangan Presiden Joe Biden untuk melaksanakan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza.
Satu-satunya anggota negara Arab majlis itu, Algeria, juga memberi isyarat bahawa ia tidak bersedia menyokong teks itu, kata diplomat.
Ketetapan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh Amerika, Perancis, Britain, China atau Russia untuk diluluskan.
Presiden Biden membentangkan rancangan gencatan senjata tiga fasa untuk Jaluran Gaza seminggu lalu yang disifatkannya sebagai inisiatif Israel.
Amerika sedang mencari sokongan antarabangsa bagi rancangan yang masih dikaji oleh Hamas.
Ia telah mengedarkan draf ketetapan satu muka surat kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB pada 3 Jun dan versi yang disemak pada 4 Jun.
Draf semasa mengalu-alukan cadangan gencatan senjata itu, menggambarkannya sebagai “boleh diterima” oleh Israel, “menyeru Hamas agar turut menerimanya, dan menggesa kedua-dua pihak melaksanakan sepenuhnya syarat-syaratnya tanpa berlengah-lengah dan tanpa sebarang syarat”.
Ia menyenaraikan beberapa butiran cadangan itu – dengan “gencatan senjata penuh dan lengkap” di Jaluran Gaza sebagai sebahagian daripada fasa satu dan “atas persetujuan pihak-pihak terlibat, penamatan kekal kepada permusuhan” dalam fasa kedua.
Tetapi, beberapa anggota majlis telah menimbulkan persoalan sama ada Israel sebenarnya telah menerima rancangan itu dan mahu majlis itu mematuhi tuntutan yang dibuat pada Mac bagi gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan tanpa syarat yang mengikat, kata diplomat.
Russia mencadangkan pindaan kepada teks Amerika, yang dilihat oleh Reuters, termasuk menyeru Hamas dan Israel agar menerima cadangan itu dan menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal yang dihormati oleh semua pihak.
Moscow juga mahu draf itu menekankan bahawa gencatan senjata fasa satu akan kekal selagi rundingan diteruskan pada fasa kedua, mencerminkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden pada 31 Mei itu.
Selama berbulan-bulan, perunding dari Amerika, Mesir dan Qatar telah cuba menjadi pengantara gencatan senjata.
Hamas berkata ia mahukan penamatan kekal kepada perang di Gaza dan pengunduran Israel dari wilayah seramai 2.3 juta penduduk itu.
Israel bertindak balas terhadap Hamas, yang memerintah Gaza, ekoran serangan 7 Oktober yang membunuh lebih 1,400 orang dan lebih 240 yang lain dijadikan tebusan.
Israel berterusan melancarkan serangan udara, darat dan laut ke atas wilayah Palestin yang dikepungnya, membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Wilayah tersebut kini hampir musnah dan dicengkam masalah kekurangan makanan yang kritikal akibat masalah bantuan kemanusiaan tersekat ekoran perang yang masih berterusan sejak lapan bulan lalu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg