MOSCOW: Russia bersedia untuk berunding dengan semua pihak yang terlibat dalam perang di Ukraine tetapi Kyiv dan penyokong Baratnya enggan terlibat dalam rundingan tersebut, kata Presiden Vladimir Putin dalam satu wawancara yang disiarkan pada Ahad (25 Disember).
Pencerobohan Russia pada 24 Februari ke atas Ukraine telah mencetuskan konflik paling memudaratkan di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan konfrontasi terbesar antara Moscow dengan dunia Barat sejak Krisis Peluru Berpandu Cuba 1962.
Setakat ini, kurang kelihatan detik penghujung perang.
Kremlin berkata ia akan berjuang sehingga semua matlamatnya tercapai manakala Kyiv berkata ia tidak akan berehat sehingga setiap askar Russia diusir dari semua wilayahnya, termasuk Crimea yang dilampirkan bersama Russia pada 2014.
"Kami bersedia untuk berunding dengan semua orang yang terlibat mengenai penyelesaian yang boleh diterima, tetapi itu terpulang kepada mereka - kami bukan golongan yang enggan berunding, mereka," kata Putin kepada stesen televisyen Rossiya 1 dalam satu wawancara yang disiarkan pada Ahad.
Pengarah CIA William Burns berkata dalam temu bual yang diterbitkan bulan ini bahawa walaupun kebanyakan konflik berakhir dengan rundingan, penilaian CIA adalah bahawa Russia masih belum serius mengenai rundingan sebenar untuk menamatkan perang.
Putin berkata Russia bertindak ke arah tuju yang betul di Ukraine kerana pihak Barat, yang diketuai oleh Amerika Syarikat, cuba memisahkan Russia.
Washington menafikan ia merancang kehancuran Russia.
“Saya percaya bahawa kita bertindak ke arah yang betul, kita mempertahankan kepentingan negara kita, kepentingan rakyat kita, penduduk kita.
"Dan kami tidak mempunyai pilihan lain selain melindungi rakyat kami,” kata Putin.
Ditanya sama ada konflik geopolitik dengan Barat menghampiri tahap berbahaya, Putin berkata: "Saya tidak fikir ia begitu berbahaya."
Putin berkata pihak Barat telah memulakan konflik di Ukraine pada 2014 dengan menggulingkan presiden pro-Russia dalam protes Revolusi Maidan.
Tidak lama selepas revolusi itu, Russia memisahkan Crimea dari Ukraine dan pasukan pemisah yang disokong Russia mula memerangi angkatan bersenjata Ukraine di timur Ukraine.
"Sebenarnya, perkara asas di sini ialah dasar lawan geopolitik kita yang bertujuan untuk memisahkan Russia, Russia yang bersejarah," kata Putin.
Putin menyifatkan apa yang disebutnya sebagai "operasi ketenteraan khas" di Ukraine sebagai detik penting apabila Moscow akhirnya menentang blok Barat yang dikatakan telah berusaha untuk memusnahkan Russia sejak kejatuhan Soviet Union pada 1991.
Ukraine dan pihak Barat berkata Putin tidak mempunyai bukti pembelaan bagi apa yang mereka anggap sebagai perang pendudukan ala imperial yang telah menyebabkan penderitaan dan kematian di seluruh Ukraine.
Putin menyifatkan Russia sebagai "negara yang unik" dan sebahagian besar rakyatnya bersatu hati mahu mempertahankannya.
"Bagi sebahagian besar negara ini - 99.9% rakyat kita, penduduk yang bersedia memberikan segala-galanya untuk kepentingan Tanah Air - tidak ada yang luar biasa bagi saya di sini," kata Putin.
“Ini sekali lagi meyakinkan saya bahawa Russia adalah sebuah negara yang unik dan kita mempunyai penduduk yang luar biasa. Ini telah disahkan sepanjang sejarah kewujudan Russia." - REUTERS