Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Saudi buka pintu kepada 1 juta jemaah haji

Jemaah perlu berusia bawah 65 tahun, sudah lengkap divaksin, jalani ujian PCR sebelum berangkat
Apr 10, 2022 | 05:30 AM



JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi semalam mengumumkan membenarkan sejuta jemaah haji dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu tahun ini, lapor agensi berita negara itu, Saudi Press Agency (SPA).



Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut memaklumkan bahawa ibadah tahunan umat Islam ke Makkah tahun ini, adalah untuk mereka yang berumur bawah 65 tahun dan mereka sudah melengkapkan vaksin Covid sepenuhnya.



Jemaah haji dari luar negara juga diwajibkan menunjukkan keputusan negatif ujian calitan tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.



Kementerian turut mengingatkan keperluan jemaah haji untuk mematuhi langkah berjaga-jaga dan mengikuti semua arahan kesihatan semasa melaksanakan ibadah mereka.



Langkah tersebut bertujuan supaya jemaah dapat mengambil bahagian dalam ibadah haji sambil mengekalkan kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan Arab Saudi dalam memerangi pandemik Covid-19.



Kementerian tersebut menyatakan kerajaan Arab Saudi berhasrat memastikan jumlah maksimum umat Islam seluruh dunia berpeluang mengerjakan ibadah haji dan mengunjungi Masjid Nabawi dalam sekitaran yang selamat.



"Ia sangat penting bagi kerajaan Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci untuk mengekalkan keselamatan para jemaah haji serta pelawat ke Masjid Nabawi."



Jumlah jemaah yang datang dari negara-negara tertentu bagi mengerjakan haji tahun ini adalah sejajar dengan kuota yang ditetapkan bagi setiap negara dan mengambil kira pematuhan kepada semua saranan kesihatan.



Sejak wabak Covid-19 melanda dunia dalam tempoh dua tahun ini, bilangan jemaah haji telah dikurangkan dengan agak banyak bagi mengelak jangkitan sewaktu menunaikan ibadah tersebut.



Pada tahun lalu, Arab Saudi hanya menerima 58,745 jemaah untuk menunaikan ibadah haji.



Sebelum wabak Covid-19 menular, jumlah jemaah haji yang memasuki Arab Saudi selalunya melebihi dua juta orang.



Bulan lalu Arab Saudi membatalkan kebanyakan sekatan Covid-19, termasuk penjarakan fizikal di kawasan awam dan kuarantin untuk pelawat yang sudah menerima vaksin.



Langkah berkenaan dilihat bakal memudahkan urusan jemaah haji dan umrah ke negara itu.



Pandemik Covid-19 menjejaskan perjalanan jemaah umrah dan haji, yang kebiasaannya menjadi penyumbang pendapatan utama negara itu dengan pendapatan sekitar AS$12 bilion ($16.3 bilion) setiap tahun.



Dalam pada itu, SPA turut menyatakan bahawa penekanan terhadap kepentingan pelan imunisasi kebangsaan yang turut termasuk mengambil dos penggalak, serta mengamalkan prosedur pengesahan status kesihatan melalui aplikasi 'Tawakkalna' untuk memasuki fasiliti, aktiviti, majlis, daftar masuk penerbangan dan pengangkutan awam.



Encik Ibrahim Ahmad, 61 tahun, yang gilirannya menunaikan haji sepatutnya pada 2020, berasa syukur dan gembira dengan pengumuman ini.



"Kami amat gembira dan rasa bersyukur sangat kerana boleh ke haji tahun ini. Pada masa sama, kami berharap pihak berkuasa di sana akan menggunakan lebih banyak teknologi dan melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan untuk sama-sama menjaga keselamatan jemaah," katanya kepada Berita Minggu.



Beliau telah mendaftar bersama isterinya, pak cik dan mak ciknya. Namun pak ciknya sudah meninggal dunia dan mak cik yang berusia 69 tahun sudah melebihi had usia dibenarkan.



"Mengenai batasan usia ni, kami memang faham kerajaan Saudi ada tanggungjawab mahupun pihak Muis kerana perlu pastikan keadaan terjaga di sana. Namun tetap rasa terkilan kerana mak cik tidak dapat turut serta jika tiba peluang kami tahun ini," tambah pegawai bank itu. - Agensi berita.



Laporan lanjut: GSA sambut baik langkah Saudi izin 1 juta jemaah haji




Masagos: Doakan terbaik bagi jemaah S’pura



“Alhamdulillah, syukur dan gembira mendapat tahu bahawa jemaah antarabangsa boleh mengerjakan ibadah Haji pada musim Haji tahun ini. Buat masa ini, pihak Muis belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai kuota bagi jemaah Singapura. Seperti apa yang saya kongsi setelah pertemuan saya baru-baru ini dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan bin Muhammad Al Rabiah, kita harus fleksibel dan bersedia membuat penyesuaian apabila butiran lanjut dikeluarkan. Muis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai urusan Haji dan akan berkongsi maklumat lanjut apabila butiran lanjut diperolehi. Sementara itu, mari kita terus bersama-sama berdoa untuk keputusan yang baik bagi jemaah Singapura, InsyaAllah.”
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >