RIYADH: Agensi Keselamatan Awam Arab Saudi telah mula melaksanakan hukuman terhadap anggota jemaah haji yang melanggar peraturan dan arahan haji dengan menunaikan haji tanpa permit yang sah.
Kawasan yang diliputi oleh peraturan larangan itu termasuk kota Makkah, kawasan tengah, tapak-tapak suci, stesen kereta api Haramain, pusat pemeriksaan keselamatan, pusat penyaringan dan pemeriksaan keselamatan sementara, lapor Saudi Press Agency.
Peraturan itu akan berkuat kuasa sehingga 20 Jun 2024.
Mana-mana individu – sama ada warga negara, pemastautin atau pelawat – yang didapati melanggar peraturan haji akan didenda 10,000 riyal ($3,602).
Mereka yang bukan warga negara pula akan dihantar pulang ke negara asal mereka dan dilarang memasuki semula Arab Saudi untuk tempoh tertentu.
Agensi Keselamatan Awam juga berkata pesalah berulang akan dikenakan denda lebih berat – dua kali ganda kerana agensi itu sentiasa menekankan peri pentingnya mematuhi peraturan dan arahan haji bagi memastikan jemaah dapat melakukan ibadah dengan selamat dan aman.
Selain itu, mana-mana individu yang ditangkap mengambil pesalah haji tanpa permit juga berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga 50,000 riyal dan kenderaan mereka dirampas.
Pesalah yang bukan warga negara akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman dan dihalang daripada memasuki semula Saudi untuk tempoh tertentu. Denda akan digandakan mengikut bilangan anggota jemaah haji tanpa permit yang diangkut, tambah agensi itu.
Pada 28 Mei, seramai 24 warga Indonesia telah ditahan pihak keselamatan Saudi di Madinah. Warga Indonesia itu ditahan kerana disyaki menggunakan visa palsu milik orang lain walaupun mereka direkodkan memasuki Arab Saudi dengan visa haji. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg