JEDDAH (Arab Saudi): Kerajaan Arab Saudi menyumbang AS$1 bilion ($1.25 bilion) kepada tentera Lubnan yang sedang menghadapi ancaman pergerakan jihad di sempadan Syria.
Mantan Perdana Menteri Lubnan, Encik Saad Hariri, berkata:
"Raja Abdullah memaklumkan kepada saya keinginannya membantu tentera Lubnan yang berjuang mempertahankan negara daripada ancaman pergerakan jihad di sempadan Syria dengan AS$1 bilion bagi memperkukuhkan keupayaan kami dan mengekalkan keselamatan Lubnan," kata Encik Hariri kepada wartawan di sini.
Bercakap dari istana Raja Abdullah di Jeddah, wakil politik Sunnah Lubnan itu menambah bahawa beliau sudahpun menerima bantuan berkenaan.
Tentera Lubnan menghadapi serangan pihak militan dalam pertempuran di Arsal, sebuah bandar di timur Syria, sejak Sabtu lalu.
Arab Saudi sebelum ini pernah membiayai pakej peralatan ketenteraan dan senjata Perancis bernilai AS$3 bilion untuk tentera Lubnan.
Panglima Angkatan Tentera Lubnan, Jeneral Jean Kahwaji, semalam menggesa Perancis supaya mempercepatkan penghantaran bekalan senjata bagi memperlengkapkan pasukannya seperti yang dijanjikan.
Raja Abdullah juga menyatakan sokongannya kepada Beirut dalam menghadapi keganasan itu ketika beliau menghubungi bekas Presiden Lubnan, Michel Sleiman.
Pertempuran di Arsal adalah keganasan paling dahsyat yang berlaku di kawasan sempadan sejak penentangan terhadap Presiden Bashar al-Assas pada 2011. - AFP