Topik diikuti
Pergi ke BHkuSebahagian besar dakwaan kesihatan bagi formula bayi tidak disokong sains: Kajian
Sebahagian besar dakwaan kesihatan bagi formula bayi tidak disokong sains: Kajian
PARIS: Sebahagian besar dakwaan kesihatan yang digunakan untuk mengiklankan susu formula bayi di seluruh dunia tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh, kata satu kajian pada Khamis.
Ini menyebabkan penyelidik untuk menggesa pengganti susu ibu dijual dalam bungkusan biasa.
Kajian itu dibuat seminggu selepas sekumpulan doktor dan saintis menyeru supaya diambil tindakan tegas terhadap industri formula AS$55 bilion ($73 bilion) bagi pemasaran "pemangsa", yang mereka katakan telah mengambil kesempatan di atas ketakutan ibu bapa baru untuk meyakinkan mereka supaya tidak menyusu.
Penyusuan susu ibu diakui secara meluas mempunyai manfaat kesihatan yang besar untuk bayi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif semasa enam bulan pertama kehidupan bayi yang baru lahir.
Bagaimanapun, cadangan itu diikuti oleh kurang daripada separuh bayi di seluruh dunia, menurut WHO.
Dr Daniel Munblit, pensyarah kanan kehormat di Imperial College London dan pengarang kajian baru itu, berkata penyelidik bukan berkempen menentang susu formula bayi, yang sepatutnya kekal sebagai pilihan bagi ibu yang tidak boleh atau memilih untuk tidak menyusu.
"Tetapi kami sangat menentang pemasaran susu formula bayi yang tidak sesuai, yang memberikan dakwaan mengelirukan yang tidak disokong oleh bukti kukuh," kata Dr Munblit kepada Agence France-Presse.
Dr Munblit dan pasukan penyelidik antarabangsa melihat dakwaan kesihatan telah dibuat untuk 608 produk di laman web syarikat susu formula bayi di 15 negara, termasuk Amerika Syarikat, India, Britain dan Nigeria.
Dakwaan yang paling biasa ialah susu formula menyokong perkembangan otak, menguatkan sistem imun dan secara lebih meluas membantu pertumbuhan.
Separuh daripada produk itu tidak mengaitkan manfaat kesihatan yang didakwa kepada ramuan tertentu, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ.
Tiga perempat tidak merujuk kepada bukti saintifik yang menyokong dakwaan mereka. - AFP