Topic followed successfully
Go to BHkuSekatan di India dilonggar sedang kes berkurang
Sekatan di India dilonggar sedang kes berkurang
Sekatan di India dilonggar sedang kes berkurang
NEW DELHI: India merancang melonggarkan sekatan keluar masuk (lockdown) yang dilaksana di negara itu sejak April lalu secara bertahap mulai minggu ini, sedang jumlah kes Covid-19 baru di negara itu berkurangan ke paras terendah dalam dua bulan.
India melaporkan 114,460 kes baru Covid-19 kelmarin, sementara lagi 2,677 orang terkorban akibat koronavirus itu.
Negara itu mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, yang melaporkan 28.8 juta kes secara keseluruhan.
Seramai 346,759 orang terkorban akibat koronavirus itu di India.
Meskipun gelombang kedua Covid-19 - yang menjejas banyak kawasan luar bandar negara itu - belum reda, New Delhi dan bandar lain sedang berusaha melonggarkan sekatan pergerakan dan membenarkan lebih banyak perniagaan beroperasi sejak semalam.
Namun, saintis memberi amaran gelombang ketiga jangkitan itu boleh melanda India, menjejas lebih ramai kanak-kanak.
Walaupun negara itu telah meningkatkan usaha vaksinasi sepanjang beberapa minggu lalu selepas id bermula secara perlahan, kebanyakan daripada 1.3 bilion penduduknya dijangka terus tidak divaksinasi apabila gelombang ketiga bermula.
Sebelum ini, pemerintah India berkata mereka akan mengutamakan vaksin Covid-19 bagi pelaut.
Menteri Negara Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air Persekutuan India, Encik Mansukh Mandaviya, berkata semua usaha harus dijalankan bagi memastikan pelaut divaksinasi sebelum menyertai kapal untuk menjalankan tugas.
Beliau menambah bahawa fungsi industri itu tidak boleh terhambat akibat pekerja tidak mendapat vaksin Covid-19.
Menurut pemerintah, pelabuhan besar di India telah menubuhkan pusat vaksinasi di enam pelabuhan utama - Mumbai Port Trust, Cochin Port Trust, Chennai Port Trust, Visakhapatnam Port Trust, Kolkata Port Trust dan Tuticorin Port Trust - yang telah mula menawarkan vaksinasi kepada pelaut di hospital pelabuhan mereka.
Selain itu, beberapa persatuan pelaut telah menganjurkan kem khusus bagi vaksinasi, manakala sebuah hospital privet di Kerala kini menyumbang kepada usaha memberi vaksinasi kepada pelaut.
India juga dijangka menjalankan kajian kebolehlaksanaan rejimen yang menggabungkan dua vaksin Covid-19 yang berlainan.
Langkah itu bagi mengetahui apakah penggunaan dua jenis vaksin Covid-19 berbeza dapat meningkatkan imun terhadap virus tersebut.
Berdasarkan laporan The Indian Express, kajian itu mungkin dijalankan menggunakan vaksin Covid-19 sedia ada di negara itu, termasuk beberapa vaksin dalam perancangan.
Pengerusi Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 di bawah Kumpulan Penasihat Teknikal Nasional berkaitan Imunisasi (NTAGI), Dr N.K Arora, berkata kajian tersebut dijangka bermula dalam beberapa minggu.
Menurutnya, kira-kira lapan jenis vaksin Covid-19 akan dicampurkan dan dipadankan sebagai sebahagian daripada proses tersebut. Vaksin itu termasuk Covishield, Covaxin dan Sputnik V, yang telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di India.
India kini juga menjangka boleh mempunyai 10 juta dos vaksin Covid-19 setiap hari menjelang bulan depan dan Ogos, berbanding hanya tiga juta sekarang.
Pemerintah negara itu memberi jaminan tersebut dalam usaha meredakan kebimbangan penduduk mengenai kekurangan dan kegagalan menguruskan program vaksinasi negara itu.
Kementerian Kesihatan berkata hampir 45 juta orang telah diberi vaksin sepenuhnya sejauh ini, iaitu kira-kira 4.7 peratus daripada 950 juta penduduk dewasa di negara itu. - Agensi berita.

