Topic followed successfully
Go to BHkuSekilas
Sekilas
Sekilas
Angka korban gempa bumi dan banjir di Indonesia meningkat
JAKARTA: Angka kematian akibat gempa bumi kuat dan banjir di bahagian tengah Indonesia meningkat kepada 96 orang, dengan hampir 70,000 orang terpaksa melarikan diri dari rumah dan mendapatkan perlindungan, kata Badan Pengurusan Bencana Nasional semalam.
Seramai 81 orang terbunuh setelah gempa sekuat 6.2 pada skala Richter dan gempa susulan sekuat 5.9 melanda wilayah Sulawesi Barat pada Khamis dan Jumaat lalu.
Seramai 15 orang pula dilaporkan mati di wilayah Kalimantan Selatan apabila banjir melanda wilayah tersebut sejak 14 Januari, kata jurucakap agensi itu, Encik Raditya Jati.
Gempa itu memaksa sekitar 28,000 orang berlindung di 25 pusat pemindahan di kota Mamuju dan daerah Majene di Sulawesi Barat, sementara banjir menyebabkan hampir 40,000 orang berlindung di wilayah Kalimantan Selatan, kata Encik Jati.
Jumlah rumah rosak akibat gempa meningkat kepada 1,150 buah di kawasan berkenaan, dan lima bangunan sekolah juga musnah di sana, kata beliau. - AFP.
Australia tidak akan buka sempadan sepenuhnya walau ramai penduduk divaksin
SYDNEY: Australia mungkin tidak membuka semula sepenuhnya sempadan antarabangsanya tahun ini, walaupun sebahagian besar penduduknya akan diberi vaksin koronavirus Covid-19, kata ketua jabatan kesihatan semalam, sedang negara itu tidak mencatat sembarang kes tempatan Covid-19 baru.
Pihak berkuasa Australia juga memantau kesan yang mungkin timbul daripada vaksin Pfizer setelah Norway melaporkan sebilangan kecil warga emasnya maut selepas menerima vaksin tersebut.
"Walaupun kami mempunyai ramai orang yang sudah divaksin, kami tidak tahu apakah ia akan mencegah penularan virus," kata Encik Brendan Murphy kepada Australian Broadcasting Corp.
Australia, yang mengurus pandemik koronavirus itu melalui sekatan khusus serta kadar ujian dan penjejakan kontak tinggi, melaporkan tiada kes Covid-19 tempatan baru semalam.
Wilayah Victoria, tuan rumah kejohanan tenis Terbuka Australia, melaporkan empat kes positif melibatkan pelancong dari luar negara yang semuanya berkaitan acara sukan itu.
Ia menjadikan kes Covid-19 di negara itu berjumlah sembilan. - Reuters.
China lapor 109 kes baru Covid-19, cetus kebimbangan gelombang baru jangkitan
BEIJING: China melaporkan lebih 100 kes Covid-19 baru pada hari keenam berturut-turut, dengan peningkatan jangkitan di kawasan timur laut mencetus kebimbangan timbulnya gelombang baru jangkitan menjelang cuti terbesar di negara ini.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional berkata dalam satu kenyataan semalam sejumlah 109 kes baru Covid-19 dilaporkan pada 17 Januari, tidak berubah daripada sehari sebelumnya.
Daripada 93 jangkitan tempatan, 54 dilaporkan di wilayah Hebei, yang mengelilingi Beijing. Wilayah Jilin di kawasan timur laut melaporkan 30 kes baru, menarik perhatian mengenai risiko muncul kelompok baru.
Kenaikan kes harian itu masih merupakan sebahagian kecil daripada apa yang dilihat China semasa kemuncak pandemik tersebut awal tahun lalu. Namun, pihak berkuasa sedang melaksana tindakan agresif, termasuk sekatan yang menjejas lebih 28 juta orang, untuk mencegah penularan penyakit itu ke tahap lebih tinggi.
Ketua biro statistik China Ning Jizhe semalam berkata kesan keseluruhan kemunculan Covid-19 semasa terhadap ekonomi negara itu tetap terkawal. - Reuters.

