Topic followed successfully
Go to BHkuSekilas
Bangkok kurang katil, lebih 34,000 kes Covid-19 bagi April
BANGKOK: Thailand kini menghadapi tekanan akibat kekurangan katil gelombang baharu Covid-19 hingga kes baharu terus melonjak dengan lebih 34,000 penduduk dijangkiti wabak itu sepanjang April lalu.
Kelmarin, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) melaporkan 1,871 kes baharu dan 10 kematian.
Walaupun kes harian mula menurun bawah 2,000 buat pertama kalinya dalam tempoh enam hari, hospital masih sesak dengan pesakit Covid-19 yang berdepan komplikasi serius. - Agensi berita.
Lebih 400,000 maut akibat Covid-19 di Brazil
MOSCOW: Lebih 400,000 orang terkorban akibat jangkitan koronavirus di Brazil, dengan 3,001 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Brazil dalam tempoh 24 jam.
Secara keseluruhan seramai 401,186 orang meninggal dunia, kata Kementerian Kesihatan kelmarin, lapor agensi berita Sputnik.
Jumlah kes yang disahkan di negara itu pula meningkat sebanyak 69,389 kepada 14,590,678 kes dalam tempoh yang sama.
Lebih 13.15 juta orang pulih sejak pandemik bermula.
Brazil di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat dan ketiga dari segi jumlah kes selepas Amerika dan India. - Agensi berita.
Varian virus Covid-19 India dikesan di Vietnam
HANOI: Vietnam telah mengesan empat kes Covid-19 varian baharu, dipercayai menyebabkan lonjakan kes di India, kata media tempatan kelmarin.
Negara itu juga melaporkan wabak komuniti pertama dalam beberapa minggu.
Sehingga kini Vietnam berjaya mengekalkan kes rendah dengan 2,910 kes jangkitan dan 35 kes kematian hasil kuarantin secara besar-besaran dan pengesanan kontak yang luas.
Kesemua empat kes dengan varian B.1.617 yang dikesan di India sebelum ini melakukan perjalanan dari negara Asia Selatan sebelum dikuarantin sebaik ketibaan mereka di Vietnam. - Agensi berita.

