DHAKA: Seorang pelajar undang-undang Bangladesh yang bersuara terhadap militan atau fundamentalisme Islam di laman Facebook beliau telah dibunuh, ujar polis pada Khamis (7 April).
Ini kes terbaru dalam satu siri pembunuhan aktivis sekular dan penulis blog di Bangladesh.
"Sekurang-kurangnya empat penyerang menetak kepala Nazimuddin Samad dengan parang pada Rabu malam. Ketika beliau jatuh ke bawah, seorang daripada mereka menembaknya dengan pistol dari jarak dekat. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka Syed Nurul Islam.
"Ia kes pembunuhan yang disasarkan. Tetapi tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab," katanya, sambil menambah polis sedang menyiasat apakah Encik Nazimuddin dibunuh kerana apa yang ditulisnya.
Akhbar Dhaka Tribune berkata penyerang Encik Nazimuddin menjerit Allahu Akbar semasa menyerang beliau di sebatang jalan raya sibuk berhampiran Universiti Jagannath Dhaka, tempat beliau sedang menuntut dalam jurusan undang-undang.
Tahun lalu, suspek militan Islam membunuh sekurang-kurangnya empat penulis blogger ateis dan seorang penerbit sekular dalam siri pembunuhan yang disasarkan terhadap aktivis anti-Islam.
Polis telah menahan ahli sebuah kumpulan yang diharamkan, Pasukan Ansarullah Bangla, berkaitan pembunuhan itu, tetapi belum ada seorang pun yang didakwa. - AFP